PENYERANG import baharu Selangor FC, Rauf Salifu mungkin baharu berusia 20 tahun namun dia dilihat sudah cukup matang sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Salifu menjadi pemain ketiga dari Ghana menyertai skuad Gergasi Merah selepas tonggak pertahanan, Richmond Ankrah dan pemain tengah Alex Agyarkwa.
Meskipun baru kali pertama beraksi di Asia, namun Salifu tidak menafikan sudah menjumpai dua faktor untuk dia menyesuaikan diri di Selangor.
“Ini kali pertama saya ke Asia. Cuaca di sini (Selangor) sama dengan Ghana, jadi saya pasti ini akan membantu saya menyesuaikan diri dengan cepat.
“Saya melihat Selangor mempunyai ramai penyokong dan ia menjadi antara punca untuk ke sini. Untuk itu, saya akan cuba membuat mereka bangga dengan kelab ini dan tidak mengecewakan mereka," katanya.
Ketibaan Salifu sedikit sebanyak melegakan pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, selepas penyerang Gergasi Merah, Herlison Caion dan Hyuri Henrique meninggalkan pasukan itu.
Pemain berketinggian 1.75 meter itu sebelum ini bermain untuk kelab di kampung halamannya, Accra Lions dari 2018 hingga 2021.
Pada musim 2020-2021, dia menjaringkan 21 gol dalam 28 perlawanan untuk membantu kelabnya dinaikkan ke Liga Perdana Ghana.
Salifu sebelum ini berpengalaman beraksi di MLS NEXT Pro League bersama Sporting Kansas City II. — Facebook/Selangor FC
Statistik luar biasanya berjaya menarik perhatian Sporting Kansas City II dalam MLS NEXT Pro League pada tahun lepas.
Semasa tempoh pinjamannya di saingan Liga Bola Sepak Amerika Syarikat itu, Salifu berhasil menjaringkan enam gol dalam 17 penampilan.
Selain Salifu, Selangor juga menandatangani pemain tengah antarabangsa Jordan, Noor Al-Rawabdeh yang mengikuti jejak rakan sepasukan negaranya, Yazan Al-Arab untuk bermain dengan skuad Red Giants.
Cheng Hoe juga berjaya mengikat penyerang utama negara, Faisal Halim dari Terengganu serta pemain pertahanan Khuzaimi Piee dan V. Ruventhiran masing-masing dari Negeri Sembilan dan Petaling Jaya (PJ) City FC.
Di bawah kendalian Cheng Hoe, Selangor tidak tewas dalam sembilan daripada 11 perlawanan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad Gergasi Merah tewas 2-1 kepada Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Bekas jurulatih kebangsaan itu tidak sabar-sabar untuk membawa Selangor ke saingan Piala AFC dan berharap penyokong untuk menyaksikan kebangkitan Red Giants sekali lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram