Lepas bincang dengan keluarga, Saddil beri berita gembira buat Sabah FC


  • Podium
  • Rabu, 25 Jan 2023

Saddil dilihat menjalani sesi latihan pramusim bersama pasukan Sabah FC. — Facebook/SabahFC

TEKA-TEKI masa depan pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani mulai mendapat titik noktahnya apabila difahamkan dia akan kekal bersama Sabah FC bagi musim Liga Super 2023.

Status mengenai Saddil itu disahkan sendiri oleh ejen pemain berusia 24 tahun itu, Alexander Talpes di laman Insta Story miliknya pada Rabu.

“Setelah berbincang secara mendalam dengan keluarga, Saddil memutuskan untuk kekal di Sabah FC bagi musim 2023,” katanya.

Untuk rekod, kontrak Saddil bersama kelab berpangkalan di Borneo itu sebenarnya sudah tamat pada 30 November 2022 lalu dan statusnya bersama Sabah FC menjadi tanda tanya penyokong.

WhatsApp Image 2023-01-25 at 15.43.29

Tangkap layar hantaran dari ejen Saddil.

Sebelum ini, bekas tonggak Sri Pahang FC itu mengakui mendapat pelbagai tawaran dari kelab termasuk daripada salah sebuah kelab yang berpangkalan di Eropah.

Antara pasukan yang berminat untuk memburu khidmat pemain itu ialah kelab dari Austria dan juga satu tawaran daripada Liga Belasuri iaitu Dinamo Minsk.

Menjengah di laman Facebook rasmi Sabah FC, kelibat Saddil juga mulai kelihatan bersama rakan sepasukan lain bagi menjalani sesi latihan pramusim.

Bersama Sabah FC, Saddil membuat 20 penampilan untuk The Rhinos dengan merekodkan empat gol dan tujuh hantaran dalam semua pertandingan musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram