Bekas kapten Perak kahwini artis tempatan


  • Podium
  • Selasa, 24 Jan 2023

Nasir dan Annie sah diijab kabulkan dalam satu majlis yang berlangsung pada Isnin. — Instagram/nasir_basharudin

BEKAS kapten Perak FA, Nasir Basharudin sah menjadi suami selepas diijabkabulkan bersama seorang artis tempatan, Annie Mosha dalam sebuah majlis pada Isnin.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi hantaran di laman media sosial peribadi kedua-dua mempelai, termasuk beberapa kenalan yang sempat menyertai resepsi mereka.

Antara yang turut berada dalam majis itu ialah pelakon terkenal, Janna Nick yang merupakan seorang sahabat rapat dengan Annie ketika kedua-dua mereka bersama dalam drama bersiri, Leftenan Zana.

“Sahabat saya dah kawin (kahwin)! Semoga kekal sampai syurga @annie_mosha & Achey,” tulis Janna di Instagram.

Sepanjang kariernya, Nasir yang juga lebih dikenali sebagai Acer berada di tanah kelahirannya selama hampir 10 tahun sebelum berhijrah pada 2019.

WhatsApp Image 2023-01-24 at 08.27.24

Nasir (tengah) merupakan antara pemain setia buat skuad TBG.

Perkara tersebut dilihat berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi Perak FA sehingga mereka dikenakan denda, termasuk pemotongan mata dan sekatan perpindahan.

Musim lalu, pemain berusia 32 tahun itu terikat bersama Petaling Jaya (PJ) City FC, namun gagal untuk memberi sebarang impak selepas dilanda kecederaan.

Hal itu dapat disaksikan apabila Nasir hanya diturunkan dalam enam aksi Liga Super dengan satu bantuan gol ketika berdepan Sabah FC pada Mac 2022 menjadi sumbangannya di hadapan pintu gol lawan.

Nama Nasir pastinya sukar dilupakan penyokong The Bos Gaurus (TBG) apabila dia turut beraksi ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 yang juga merupakan trofi terakhir dijulang pasukan itu.

Tetapi, dengan usianya semakin meningkat, Acer dilihat tidak menerima tawaran daripada mana-mana pasukan meskipun apabila sudah dilepaskan PJ City FC yang tidak lagi bersaing secara profesional musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram