PADA awal Januari tahun ini, Selangor FC membuat kejutan besar apabila membawa masuk bekas jurulatih kecergasan Kedah, Ramon Marcote ke Selangor sebagai pembantu pengendali skuad Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe.
Bukan sahaja penyokong Selangor FC, malah peminat Kedah Darul Aman (KDA) FC juga tidak sabar untuk melihat sentuhan kedua-dua pengendali berkenaan kerana pengalaman mereka sebelum ini di bumi Darul Aman.
Marcote sebelum ini pernah bekerjasama bersama Cheng Hoe sebagai jurulatih kecergasan sekitar 2015 sebelum pengendali kelahiran Sepanyol itu juga pernah dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2018.
Kerjasama duo pengendali itu tambah menyakinkan penyokong Gergasi Merah bahawa pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu akan menjadi pencabar terbesar dalam saingan Liga Super musim 2023.
Malah, ada juga yang berimpian skuad Gergasi Merah boleh menjadi pesaing terdekat pemenang Liga Super selama sembilan kali, Johor Darul Takzim (JDT) pada musim kali ini.
Namun bagi bekas jurulatih berpengalaman Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, tidak dinafikan Selangor mampu menjadi pesaing dalam liga namun bukanlah sebagai pencabar Harimau Selatan.
Marcote (kiri) bersama dengan Cheng Hoe sewaktu melatih skuad KDA FC. — Facebook/KDAFC
Azraai Khor berkata, perancangan yang sudah disusun oleh Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (TMJ) menyukarkan untuk pasukan lain mencabar JDT.
"Best friend tak best friend, apa sekali pun TCH (Cheng Hoe) yang akan buat rancangan. Saya rasa untuk musim 2023, boleh jadi pencabar. Tapi bukan pencabar JDT.
"Bagi saingan liga, Selangor mungkin boleh tapi nak ambil alih tempat JDT, saya say sorry," katanya kepada Majoriti.
Menurut pengendali berusia 70 tahun itu, setiap pasukan yang ingin mencabar JDT perlulah mempersiapkan pasukan mereka lebih daripada yang sepatutnya.
Malah, dengan kemasukan pemain baharu JDT pada musim 2023 pasti menyukarkan lagi untuk kelab lain mencabar takhta Harimau Selatan sebagai pasukan gergasi tanah air.
"Dengan JDT bawa masuk pemain baharu, pasti setiap kelab perlu ingat walaupun dah mantap, mantapkan lagi. TMJ setiap tahun akan buat terbaik.
"Macam saya cakap sebelum ini TMJ akan susun nak dapat treble, memang dah dapat treble. Tunggu 2023 mungkin akan dapat lagi treble," tambahnya.
Pemain import baharu Selangor FC, Al-Rawabdeh diterbangkan dari Jordan. — Facebook/Selangor
Setakat ini, JDT sudah mengumumkan lima pemain baharu iaitu Endrick Dos Santos, Diogo Luís Juan Muniz, Oscar Arribas dan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi.
Manakala Selangor FC pula membawa masuk muka-muka baharu seperti kapten Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim, V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee, selain tonggak import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram