Pro-kontra jika bekas import berbisa pilih untuk kembali, 3 kelab elit Liga Super menanti


  • Podium
  • Jumaat, 20 Jan 2023

Spasojevic baru-baru ini membantu Indonesia dalam saingan Piala AFF 2022. —Instagaram/Spasojevic

SETIAP pasukan Liga Super musim 2023 sedang sibuk menyusun rancangan untuk membawa pemain berkualiti bagi membantu kelab mereka menjadi pesaing terhebat di persada domestik.

Tidak dapat dinafikan setiap posisi dalam sesebuah pasukan memainkan peranan namun sering kali pemain penyerang sering dilabel sebagai nadi pasukan.

Jika penyerang yang dimiliki itu gagal mencetak gol, pasti segala tohmahan akan diterimanya dan lebih teruk pihak pengurusan terpaksa membuat pilihan untuk menggugurkan mereka.

Berbicara mengenai persiapan musim ini, kebanyakan kelab mulai menunjukkan persiapan mereka, namun ada di antaranya yang masih tercari-cari penyerang berkualiti.

Contohnya seperti Selangor FC yang dikatakan akan merekrut pemain naturalisasi Indonesia, Ilija Spasojevic bagi menggantikan penyerang import berbisa, Herlison Caion.

Bukan hanya Gergasi Merah, pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan FC juga sesuai untuk bersaing mendapatkan khidmat Spasojevic.

Hal ini demikian kerana, skuad Hijau Kuning kini hanya memiliki pemain import, Willian Lira sebagai penyerang.

Manakala, skuad The Red Warrios (TRW) pula masih tidak mengumumkan sebarang pemain import dan ramai penyokongnya masih tertanya-tanya siapakah individu yang bakal mengisi kuota itu.

Oleh itu, Majoriti akan menyenaraikan pro-kontra jika ketiga-tiga kelab itu ingin membawa masuk pemain dari negara republik itu:

Pro

1) Pengalaman

WhatsApp Image 2023-01-19 at 21.25.09

Spasojevic mempunyai pengalaman di peringkat Asia dan Eropah. —Instagaram/Spasojevic

Pemain kelahiran Yugoslavia itu mempunyai pengalaman bermain di di Georgia, Serbia, Indonesia dan juga saingan Liga Malaysia bersama Melaka United yang kini dikenali sebagai Melaka FC.

Sewaktu beraksi bersama skuad Dinamo Tiblisi bagi saingan Liga Georgia, Spasojevic membuat penampilan sulungnya dalam Liga Juara -Juara UEFA pada Julai 2008 menentang Panathinaikos FC.

Terbaharu, dia juga sempat menggunakan kepakarannya bersama Bali United untuk saingan Liga Indonesia, selain membantu pasukan itu dalam kejuaraan Piala AFC.

Pengalamannya yang mampu bersaing di peringkat Asia dan Eropah itu sudah cukup membuktikan Spasojevic mampu membantu pasukan Selangor untuk mencapai misi ke Asia pada musim 2023.

2) Rekod gol

WhatsApp Image 2023-01-19 at 21.24.50

Spasojevic pernah membantu Melaka memenangi Liga Perdana pada 2016. —Instagaram/Spasojevic

Sebagai seorang penyerang, rekod jaringan Spasojevic sangat mengagumkan dan boleh menjadi 'resume' yang kukuh untuk dia menjadi pilihan kelab elit.

Bersama skuad Hang Tuah, ketajaman penyudah pemain yang mendapat jolokan 'Spasogoal' itu terbukti apabila menjaringkan gol 30 gol daripada 35 perlawanan sepanjang tiga musim bersama pasukan itu.

Sekembalinya dia ke Indonesia, pemain yang menyarung jersi no.9 di Bali United itu merekodkan 14 jaringan untuk pasukan berkenaan.

Kontra

1) Tebus Kontrak

WhatsApp Image 2023-01-19 at 21.24.58

Spasojevic berkebolehan menggunakan kedua kakinya. —Instagaram/Spasojevic

Di sebalik kelebihan yang ada pada bekas penyerang bawah 21 tahun Montenegro, ketiga-tiga kelab Liga Super itu perlu menerima hakikat bahawa terdapat beberapa kekurangan yang bakal dihadapi jika membawa masuk Spasojevic.

Difahamkan, KDA FC, TRW dan Selangor FC perlu membayar lebih kepada kelabnya iaitu Bali United sekiranya mereka ingin menggunakan khidmatnya.

Hal ini disebabkan, Spasojevic masih terikat dengan kontrak dan kelab yang ingin merekrutnya perlu membayar pampasan kepada Bali United.

Berdasarkan laman Transfermarkt, Spasojevic masih mempunyai kontrak sehingga 31 Disember 2023 bersama Bali United.

2) Usia tua

WhatsApp Image 2023-01-19 at 21.24.38

Spasojevic pernah menyarung lilitan kapten bersama Melaka United. —Instagaram/Spasojevic

Selain daripada perlu membayar mahal kepada Bali United, ketiga-tiga kelab itu juga perlu menerima hakikat bahawa pemain naturalisasi Indonesia itu sudah menghampiri penghujung kariernya.

Hal ini demikian kerana, pemain yang juga mempunyai kewarganegaraan Montenegro itu kini berusia 35 tahun dan hanya sesuai untuk perancangan jangka masa pendek.

Jika dibandingkan dengan stamina pemain muda, Spasojevic tidak mampu untuk bersaing dan berkemungkinan hanya merugikan kelab yang menginginkan penyerang untuk jangka masa panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram