PERSIAPAN demi persiapan mula direncanakan Selangor FC untuk menambah baik prestasi mereka dalam Liga Malaysia 2023 sejak pembukaan jendela perpindahan Disember lalu.
Bagi menambah baik kualiti skuad, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat tiga pemain Harimau Malaya, iaitu Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran.
Ketiga-tiga pemain tersebut dilihat cukup penting untuk pasukan masing-masing pada 2022 di samping masih berada di kemuncak karier melihat kepada usia mereka.
Selain itu, pemain antarabangsa Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan penyerang kelahiran Ghana, Rauf Salifu menjadi rekrut import baharu dengan sentuhan kedua-dua mereka pasti didambakan pihak kejurulatihan.
Tidak cukup dengan itu, skuad Gergasi Merah juga akan diperkuatkan dengan kehadiran bekas pembantu jurulatih Kedah FA, Ramon Marcote yang sekali lagi bakal bergandingan bersama Tan Cheng Hoe.
Ketika kedua-dua mereka bergandingan di Utara tanah air buat beberapa tahun, mereka pernah menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila menjulang beberapa kejuaraan.
Ini termasuk kejayaan untuk muncul juara dalam Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 di samping menyuntik perubahan kepada skuad Helang Merah yang berdepan ketidaktentuan beberapa tahun sebelum itu.
Kehadiran Marcote dijangka menyuntik perubahan terhadap kualiti kejurulatihan Selangor FC. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, kehadiran jurulatih kelahiran Sepanyol itu masih sukar untuk diterima kebanyakan penyokong Selangor FC yang masih kurang yakin dengan portfolionya sebelum ini.
Tetapi, bagi kapten pasukan, Brendan Gan, dia mengakui bahawa Marcote memiliki ciri-ciri yang cukup bernilai buat skuad Gergasi Merah walaupun baru sahaja berganding bahu.
"Saya baru sahaja bekerja bersamanya untuk satu hari, tapi saya sudah boleh lihat kualiti yang dimilikinya. Dia seorang yang cukup bersemangat dalam bola sepak, dia mahu pemainnya untuk belajar.
"Ia merupakan satu perasaan yang baik apabila menerima seorang jurulatih baharu kerana dia akan menambah baik kualiti pemain secara individu dan berkumpulan untuk menjadikan kami lebih baik," katanya.
Dia berkata demikian ketika sesi latihan pra-musim di Pusat Latihan FA Selangor di Shah Alam, Selangor yang turut dihadiri Marcote dan beberapa rekrut baharu.
Selepas meninggalkan Kedah pada 2017, jurulatih berusia 45 tahun itu berkelana ke beberapa negara, termasuk Arab Saudi dan Greece untuk menimba ilmu bersama pasukan remaja.
Kerjasama antara Marcote dan Cheng Joe dijangka membantu skuad Gergasi Merah menamatkan kemarau kejuaraan, sekali gus menempatkan mereka dalam pentas Asia buat pertama kali sejak 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram