SKUAD hoki lelaki negara, Speedy Tigers sudah bersedia sepenuhnya dan tekad memberikan cabaran getir kepada juara tiga kali, Belanda, menjelang aksi pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India, pada Sabtu.
Tonggak pertahanan skuad hoki kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim berkata, mereka telah melakukan analisis termasuk taktikal yang akan diterapkan di atas padang sewaktu menentang pasukan ketiga terbaik dunia itu.
"Perlawanaan pembukaan sangat penting supaya kita bermula dengan baik kerana boleh beri motivasi kepada kami pada perlawanan akan datang.
"Tekanan memang ada setiap perlawanan, jadi kami akan sesuaikan diri dengan tekanan yang akan kami hadapi nanti,” katanya dalam sebuah video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia.
Beliau pada masa sama mengingatkan rakan sepasukan agar sentiasa fokus dengan tugas serta tanggungjawab dipikul dalam setiap perlawanan pada Piala Dunia ini.
"Jadi, tak perlu takut dan risau untuk lakukan kesilapan sebab semua orang akan buat silap. Kita bermain, bertahan dan menyerang sebagai satu pasukan itu yang saya sering ingatkan kepada rakan sepasukan,” katanya.
Muhammad Razie juga berharap agar peminat terus menyokong perjuangan mereka kerana ia sudah pasti mencetuskan inspirasi bagi pasukan kendalian A. Arul Selvaraj itu untuk beraksi dengan baik dalam kejohanan berprestij tersebut.
Selepas aksi menentang Belanda, Malaysia yang menghuni ranking ke-11 dunia, dijadual berdepan pasukan ke-22 terbaik dunia, Chile pada Isnin di venue sama sebelum mengharungi aksi terakhir kumpulan menentang pasukan di kedudukan kesembilan dunia, New Zealand di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, Khamis depan.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan akan terus mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga pula akan beraksi menentang pasukan Kumpulan D iaitu England, India, Sepanyol dan Wales pada pusingan kalah mati untuk slot ke suku akhir.
Dalam pada itu, penyertaan di India bakal menjadi penampilan kesembilan skuad hoki negara di Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram