PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC di bawah kendalian Nafuzi Zain dilihat semakin bersedia untuk bersaing dalam kancah Liga Super musim ini yang akan membuka tirai pada Februari.
Skuad baharu Sang Kenari mengharungi ujian pertama menerusi perlawanan persahabatan dengan kelab amatur, Perlis United pada 13 Januari lalu.
Dalam pertembungan itu, KDA FC mencatat kemenangan selesa 4-0 di Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Seterusnya, skuad Hijau Kuning akan bertemu Kelantan FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.
KDA FC dan Kelantan FC akan beraksi pada perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini. — Facebook / KDA FC
Perlawanan tersebut tentunya dijangka lebih 'panas' memandangkan The Red Warriors (TRW) juga membuat pelaburan menyambar pemain berkaliber bagi mengharungi saingan sengit di Liga Super 2023.
Ada beberapa perkara yang dijangka menjadi tumpuan kedua-dua penyokong menerusi perlawanan itu.
Penyerang import kelahiran Brazil, Willian Lira akan terus menjadi sorotan dalam pertemuan dengan skuad TRW berdasarkan persembahan sulungnya tempoh hari.
Willian Lira bukan sahaja mampu menjaringkan gol menerusi tandukan deras, malah berkeupayaan melakukan bantuan gol yang disudahkan penyerang sayap, Al-Hafiz Harun.
Perpindahan Hidalgo ke Sang Kenari daripada Sri Pahang FC mencetuskan kontroversi. — Facebook/ KDA FC
Selain import baharu, import sedia ada Liga Malaysia yang disambar dari Sri Pahang FC iaitu Manuel Hidalgo dan Lee Tuck juga akan menjadi perhatian penyokong Sang Kenari.
Kehadiran pemain import lain seperti Amirbek Juraboev, Alan Robertson, Bojan Ciger dan Manuel Ott juga tentunya dinanti-nanti penyokong bagi melihat keserasian mereka di atas padang.
Jika barisan pemain KDA FC bakal mencuri perhatian penyokong, lain pula dengan skuad TRW yang menggegarkan kancah bola sepak tempatan selepas mengumumkan ketua jurulatih dari Korea Selatan.
Moon-sik dijangka membawa perubahan dalam skuad TRW. — Facebook / TRW Kelantan FC
Figura itu, Choi Moon-sik bukan calang-calang orang, sebaliknya merupakan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia 1994.
Pemilik lesan jurulatih profesional Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) itu juga pernah dilantik sebagai pemangku pengendali sukad bawah 23 dan 20 tahun Korea Selatan.
Selain itu, suntikan Moon-sik sebagai pengendali berpengalaman juga dijangka membawa perubahan, lebih-lebih lagi dengan pasukan Pantai Timur itu bakal berada dalam divisyen teratas bola sepak tempatan buat pertama kali sejak 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram