PERLAWANAN persahabatan pertama yang diadakan Kelantan FC menyaksikan pasukan itu tumpas dengan skor 0-7 di tangan kelab Thailand, Buriram United dalam aksi Asean Charity Shields 2023.
Pertembungan yang diadakan di Stadium Tinsulanon, Thailand itu sememangnya satu ujian besar buat skuad The Red Warriors (TRW) yang musim lepas berada dalam kancah Liga Perdana.
Selain itu, kehadiran ketua jurulatih, Choi Moon-sik yang hanya bersama pasukan kira-kira 48 jam sebelum aksi itu juga serba sedikit merencatkan persembahan pasukan yang mudah diratah pendahulu liga Thailand itu.
Tidak cukup dengan itu, aktiviti mereka sepanjang jendela perpindahan juga masih belum dilengkapkan dan difahamkan beberapa pemain lagi akan dibawa masuk.
Bagi penyokong, kekalahan yang dicatatkan itu membuktikan pelbagai perkara perlu ditambah baik, termasuk tahap kecergasan dan kualiti skuad ketika ini.
Kelantan mengalami kekalahan pertama dalam aksi persahabatan menentang Buriram United. — Facebook/Asean Charity Shield
Namun, terdapat segelintir peminat yang mula menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan persembahan tersebut sehingga mempersoalkan kemampuan pasukan untuk kempen Liga Super 2023.
Tetapi, bagi pemilik pasukan, Norizam Tukiman, dia bertegas bahawa kekalahan yang dicatatkan itu tidaklah mencerminkan keupayaan secara keseluruhan.
"Pertamanya, kita perlu faham bahawa Kelantan FC sebenarnya dalam proses memilih pemain baharu dan cuba untuk mengekalkan pemain bagi persiapan mengharungi liga pada Februari nanti.
"Bagi Buriram pula, mereka berada dalam tahap kekuatan terbaik yang mana mereka sedang berehat daripada pusingan pertama ke pusingan kedua," katanya kepada Majoriti.
Jelasnya, dia melihat pasukan tersebut jelas bersungguh-sungguh dalam perlawanan berkenaan apabila menurunkan skuad utama, termasuk beberapa wajah import untuk mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.
Namun kekalahan itu tidak mematahkan semangat skuad TRW yang akan terus menguji kemampuan pemainnya menerusi perlawanan persahabatan kedua bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dijadualkan berlangsung pada 20 Januari ini di Stadium Darul Aman.
Malahan, ketika ditanya tujuan di sebalik mengadakan pertembungan persahabatan itu, Norizam memberitahu dia berhasrat untuk mengenal pasti kekurangan dalam pasukannya ketika ini.
Moon-sik mempunyai kredibiliti untuk membawa perubahan kepada skuad TRW. — Facebook/Kelantan FC
"Seperti yang saya beritahu, kita bukannya hendak bercerita mengenai menang atau kalah kerana misi kami adalah sebagai persiapan dan mengetahui kelemahan dan kekuatan pemain, itu matlamat kita.
"Memanglah kalau diikutkan, kita mahu mencatatkan kemenangan. Tetapi, yang utamanya bukanlah yang itu, kerana misi utama kita adalah untuk mencari kelemahan dan menyesuaikan taktikal jurulatih dengan pemain," katanya.
Kelantan FC dijangka berwajah baharu untuk kempen 2023 selepas membawa masuk beberapa nama baharu serta pemain import yang pertama kali beraksi dalam Liga Super.
Selain itu, suntikan Moon-sik sebagai pengendali berpengalaman juga dijangka membawa perubahan, lebih-lebih lagi dengan pasukan Pantai Timur itu bakal berada dalam divisyen teratas bola sepak tempatan buat pertama kali sejak 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram