Pertaruh pemain tempatan, tapi tetap teliti kuota 9 pemain import — Cheng Hoe


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Cheng Hoe masih mahu memberi peluang kepada pemain tempatan untuk bersinar di atas padang. — Facebook/Selangor FC

GERGASI Liga Super, Selangor FC sedang melakukan pertimbangan mengenai keperluan untuk mengisi kuota sembilan pemain import bagi musim 2023.

Bagi ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, dia menegaskan pemain tempatan akan diberikan platform untuk terus bersinar tanpa melihat keputusan pihak pengurusan.

Setakat ini, skuad Gergasi Merah sudah mengisi kuota tersebut dengan mengekalkan khidmat pemain sayap kelahiran Myanmar, Hein Htet Aung dan duo pertahanan import, Yazan Al-Arab dan Richmond Ankrah.

Di samping itu, mereka turut mengumumkan kehadiran pemain tengah kelahiran Jordan, Noor Al-Rawabdeh untuk digandingkan bersama seorang lagi tonggak import, Alex Agyarkwa.

Bagi perpindahan keluar pula, Selangor FC mengumumkan tiga pemain tidak akan dikekalkan iaitu Herlison Caion, Hyuri Henrique dan Baha Abdelrahman.

322071306_686679762961442_968498027689973168_n

Noor Al-Rawabdeh menjadi satu-satunya import baharu Selangor FC. Facebook/Selangor FC

Oleh itu, penyokong pastinya berharap kualiti skuad akan terus dipertingkatkan dengan membawa masuk beberapa wajah baharu ketika jendela perpindahan Liga Malaysia ini.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, penilaian masih dilakukan untuk melihat sekiranya pemain import akan terus dibawa masuk dengan empat lagi slot masih terbuka.

"Sudah tentu kita perlu melihat kepada kemampuan dan bajet sedia ada di samping keperluan pasukan untuk menggunakan kuota tersebut. Kita perlu menilai setiap posisi dan sekiranya terdapat peluang, kami sememangnya mahukan sembilan pemain import.

"Tetapi, sudah tentu saya akan terus berpegang kepada pemain tempatan yang mana saya percaya boleh terus memberikan saingan dalam kalangan skuad kami," katanya.

Musim lalu, bekas pengendali Harimau Malaya itu dibawa masuk pada penghujung saingan Liga Super dengan pasukan Lembah Klang itu berhasrat untuk mara ke Piala AFC.

Walaupun gagal, sentuhan Cheng Hoe masih wajar diberikan pujian apabila Selangor FC melangkahkan kaki ke pentas akhir Piala Malaysia, namun tumpas di tangan Johor Darul Takzim (JDT).

Dalam masa sama, jurulatih kelahiran Kedah itu berkata, dia meletakkan sasaran untuk layak ke pentas Asia musim depan tetapi perlu melihat kepada keupayaan pasukan yang dimilikinya.

"Ia adalah satu cabaran yang besar kepada pasukan kerana kami tahu bahawa penyokong sudah meletakkan harapan tinggi. Sasaran kami adalah untuk mendapatkan slot ke Piala AFC, tetapi terlalu awal untuk menilai," katanya.

Sejak perpindahan jendela perpindahan, Selangor FC juga sudah mengumumkan kehadiran tiga pemain baharu, iaitu Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram