'Skuad skuasy boleh lakar kejutan membanggakan'


  • Podium
  • Jumaat, 29 Jul 2022

Shahrul Zaman berkata, badminton, terjun serta boling padang juga berpeluang menambah kilauan pingat emas seperti disasarkan sebelum ini. — Bernama

WALAUPUN bukan dianggap prospek utama pingat emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, kem skuasy negara dijangka boleh membuat kejutan melakar kejayaan membanggakan.

Ketua kontinjen negara (CDM), Datuk Shahrul Zaman Yahya optimis dua pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman dan Rachel Arnold mampu menaiki podium pada acara yang berlangsung di Pusat Skuasy dan Hoki, Universiti Birmingham.

"Walaupun S. Sivasangari tidak dapat berada di sini, namun saya percaya Aifa dan Rachel boleh buat satu kejutan, insya-ALLAH,” katanya.

Sivasangari tidak dapat menjejakkan kaki ke Birmingham selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, bulan lepas.

Bukan sahaja skuasy, Shahrul Zaman berkata, badminton, terjun serta boling padang juga berpeluang menambah kilauan pingat emas seperti disasarkan sebelum ini.

"Badminton, terjun dan boling padang mungkin masing-masing boleh bawa pulang dua emas, sekiranya atlet dapat menjelmakan prestasi terbaik mereka,” tambahnya.

Selain tiga sukan tersebut, gimrama, angkat berat dan powerlifting turut diharap dapat membantu negara mencapai sasaran enam emas pada temasya kali ini.

Kontinjen negara di Birmingham diwakili 104 atlet.

Sukan Komanwel Birmingham 2022 disertai kira-kira 6,500 atlet dari 72 negara pada edisi kali ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram