Tomas Trucha berdepan tugas berat perbaiki mentaliti, stamina pemain KUFC


  • Podium
  • Isnin, 16 Jan 2023

Sebahagian daripada aksi pemain KUFC ketika menentang Selangor FC pada November tahun lalu. — Facebook/KUFC

KELANTAN United (KUFC) akan menguji keserasian dan kemampuan pemainnya menerusi aksi persahabatan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Terengganu pada Sabtu depan.

Ketua Jurulatih KUFC, Tomas Trucha berkata, perlawanan itu cukup penting kerana ia merupakan tugas pertamanya sebagai pengendali pasukan berkenaan.

"Perlawanan ini cukup penting kepada saya memandangkan baru sahaja mengambil alih sebagai Ketua Jurulatih KUFC tidak sampai sebulan bagi membawa cabaran pada saingan Liga Super.

"Dalam perlawanan itu, saya juga akan menguji serta menilai dari aspek teknikal, taktikal dan kecergasan pemain," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih berasal dari Republik Czech itu berkata, banyak perkara perlu dilakukannya untuk memastikan kecergasan dan mentaliti pemain berada pada tahap baik.

"Semua pihak sama ada pemain dan jurulatih sedang bekerja keras dengan mengadakan sesi latihan untuk mengembalikan kecergasan serta membina taktikal bagi menghadapi perlawanan kompetitif nanti," katanya.

Saingan Liga Super musim ini dijangka bermula 24 Februari depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram