MINGGU lalu, hangat diperkatakan mengenai keterujaan bekas pemain import Kelantan FC, Jack Hindle untuk beraksi semula bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Meskipun pemain dari England itu gembira untuk menawarkan diri bermain bersama skuad TRW, namun rata-rata penyokong menolak habis-habisan idea untuk membawa masuk semula Hindle ke bumi Kelantan.
Khabar angin kemunculan semula bekas pemain import Kelantan nampaknya tidak berhenti di situ apabila terbaharu pemain dari musim 2021, Mario Arques turut difahamkan akan kembali menyarung jersi TRW.
Desas-desus kehadiran pemain itu mula timbul selepas juruanalisa perlawanan Kelantan, Pol Corpas Cuatrecasas memuat naik gambar di Insta Story bersama Arques.
Tangkap layar Insta Story dari Pol Corpas. — Facebook/Arques
Berita itu bagaimanapun kurang dipersetujui oleh penyokong Kelantan berikutan ramai daripada mereka masih trauma dengan isu melibatkan Arques pada musim 2021.
Pada musim 2021, Arques hanya sempat beraksi kira-kira sembilan bulan sebelum Kelantan memutuskan untuk menamatkan kontraknya atas faktor kecederaan, selain perlu pulang ke Sepanyol kerana urusan keluarga.
Namun begitu, sehari selepas pengumuman dari Kelantan FC itu, Arques diumumkan sebagai pemain baharu kelab Australia, Newcastle Jets.
Disebabkan penghijrahan pemain berusia 30 tahun itu ke pasukan baharu berlaku dalam tempoh yang singkat, ramai penyokong mula membuat spekulasi mengenai penamatan kontraknya bersama Kelantan ketika itu.
Arques juga menyarung lilitan kapten bersama TRW. — Facebook/Arques
Justeru itu, isu pada 2021 tersebut menjadikan ramai penyokong khuatir jika skrip sama akan berulang jika Arques beraksi semula pada musim ini.
"Buat-buat cedera lepas itu pergi main liga lain," komen penyokong skuad TRW, Izzudin Azman.
"Baik tidak payah ambil lagi import ini," kata seorang lagi penyokong, Nickroshimi Nick.
Jika dilihat dari laman Transfermarkt, pemain kelahiran Sepanyol tersebut kini berstatus tanpa kelab dan sebelum itu dia berkhidmat bersama pasukan dari Liga Vietnam, SLNA FC.
Untuk rekod, Arques menjadi antara tonggak terbaik Kelantan FC musim 2021 dan membantu TRW menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keenam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram