Kelantan rebah di bumi Thai, 2 isu penting tarik perhatian penyokong


  • Podium
  • Isnin, 16 Jan 2023

Kelantan perlu melakukan perubahan besar-besaran sekiranya mahu bersaing dalam Liga Super 2023. — Facebook/Sulkiflee Salae

DALAM aksi persahabatan pertama bagi menghadapi musim 2023, Kelantan FC tumpas dengan skor 0-7 ketika berdepan kelab Thailand, Buriram United semasa saingan Asean Charity Shield.

Perlawanan tersebut dikatakan sebagai satu langkah berani yang dibuat pihak pengurusan memandangkan pasukan tersebut hanya bersaing dalam Liga Perdana tahun lalu.

Namun, pertembungan yang diadakan di Stadium Tinsulanon, Songkhla, Thailand tersebut jelas memaparkan perbezaan besar antara kedua-dua pasukan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, kelewatan The Red Warriors (TRW) untuk mengumumkan ketua jurulatih baharu, Choi Moon-sik juga dikatakan sebagai antara punca di sebalik aksi kurang memberangsangkan itu.

Manakan tidak, kelab Pantai Timur itu dilihat masih belum mengadakan sesi latihan pra-musim secara lengkap di samping tidak melengkapkan aktiviti perpindahan pemain setakat ini.

Jadi, berdasarkan perlawanan itu, tidak timbul sebarang tanda tanya apabila laman media sosial dibanjiri perasaan kurang senang daripada segelintir penyokong Kelantan FC.

323099324_887747549081947_7196812224467839864_n

Esswein (kiri) dinamakan sebagai import baharu Kelantan FC untuk 2023. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagi mereka, pemilik kelab, Norizam Tukiman wajar dipersalahkan ke atas keputusan tersebut berikutan keenggannya untuk membuat pelaburan terhadap skuad sedia ada.

Tetapi, pemerhatian lebih mendalam mendapati terdapat juga beberapa pendirian positif yang dikongsikan walaupun mengakui pelbagai perkara perlu ditambah baik sebelum kempen Liga Super 2023 bermula.

Bagi seorang penyokong bola sepak tempatan, Abe Arief, dia berpendapat pasukan berkenaan masih belum lengkap berikutan ketiadaan pemain import yang berkualiti.

"Pertahanan sepatutnya ambil dua orang yang bertubuh sasa seperti bek tengah Negeri Sembilan FC, Herold Goulon. Pemain tengah dan penyerang juga masih diperlukan," katanya.

Setakat ini, Kelantan FC hanya membawa masuk seorang pemain import, Andreas Esswein dengan pihak pengurusan dikatakan masih berusaha mendapatkan beberapa lagi seorang penutupan jendela perpindahan pada Februari.

Berdasarkan khabar angin, Norizam difahamkan berminat untuk membawa masuk rekrut baharu dari benua Afrika walaupun tiada perkembangan lanjut ketika ini.

325281816_550130810167619_3017301290583024412_n

Mampukah Moon-sik membawa perubahan terhadap skuad TRW? Facebook/TRW Kelantan FC

Sementara itu, bagi Apik Izmie pula, dia berpendapat penyokong tidak sepatutnya terlalu pantas untuk membuat penilaian terhadap kebolehan TRW menerusi pertembungan tersebut.

"Coach baru sahaja sampai, dia perlu diberikan masa untuk membentuk sebuah skuad yang berkualiti. Rata-rata yang berada dalam kesebelasan utama adalah pemain baru dan lama.

"Ini hanya percubaan dan ia akan membantu mendirikan sebuah pasukan yang lebih mantap tetapi perlu sabar kerana masih terdapat beberapa aksi persahabatan selepas ini," katanya.

Selepas ini, Kelantan FC akan sekali lagi menguji kemampuan skuad apabila bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC yang bakal diadakan pada Jumaat di Stadium Darul Aman, Kedah.

Perlawanan tersebut dijangka menarik perhatian banyak pihak, lebih-lebih lagi dengan skuad Sang Kenari juga melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram