PFAM desak Sarawak lebih serius, muak isu gaji asyik ‘ulang tayang’


  • Podium
  • Selasa, 17 Jan 2023

Pihak pengurusan SUFC dilaporkan masih belum membayar gaji pemain yang kini tertunggak selama empat bulan. — Facebook/Sarawak United

ISU tunggakan gaji bekas pemain dan staf kejurulatihan Sarawak United FC (SUFC) nampaknya masih tidak menemui titik nokhtah selepas beberapa tonggak skuad Ngap Sayot tampil mendedahkan perkara berkenaan kepada umum.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa pihak pengurusan SUFC mendakwa sudah melunaskan semua gaji pemainnya pada September lalu, namun ia hanyalah sekadar janji-janji kosong sahaja.

Dalam satu temu bual bersama media tempatan baru-baru ini, beberapa pemain SUFC mendedahkan bahawa pihak pengurusan masih belum melangsaikan hutang berbentuk bayaran gaji sehingga tiga bulan termasuk bonus.

Tampil mengulas isu berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata, satu laporan rasmi melibatkan 16 pemain sudah dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, isu tersebut itu sudah dibawa ke pihak FAM melalui Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) agar badan induk berkenaan dapat membuat keputusan segera mengenai kes tersebut.

SUFC

Pemain Sarawak United mendakwa pihak pengurusan masih belum melangsaikan hutang gaji. Facebook/Sarawak United FC

"Kami telah menghantar laporan rasmi kepada FAM minggu lepas iaitu pada 9 Januari melibatkan 16 pemain SUFC yang tidak dapat gaji selama empat bulan.

"FAM melalui jawatankuasa NDRC akan melihat dan membuat keputusan dengan laporan rasmi yang kami dah buat. FAM akan buat keputusan nanti.

"Pada masa yang sama, kami menggesa agar pihak SUFC lebih serius menyelesaikan perkara itu kerana pemain dah sengsara lama," katanya kepada Majoriti.

Saat mengulas sama ada pihak Malaysian Football League (MFL) perlu melaksanakan amaran baharu bagi menyelesaikan isu berkenaan, Izham berkata, pertubuhan berkenaan sudah melaksanakan tugas mereka.

MFL sebelum ini sudah menggantung lesen Sarawak United bersama Melaka FC selepas gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji tersebut.

"Memang MFL dah buat keputusan untuk Sarawak United tak bertanding, sedihnya keputusan itu dipandang remeh oleh pihak pengurusan. Jadi pasukan yang salah, bukan sebarang peraturan.

"Peraturan memang dah jelas. Hanya pasukan yang tak nak bayar. Semua peraturan memang dah jelas. Kes Sarawak ini nampak mereka tak serius sebab mereka tak main tahun depan," jelasnya.

Dalam pada itu, selain pihak FAM, pemain Sarawak United juga berharap agar tindakan tegas dapat diambil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terhadap isu berkenaan.

Majoriti sedang mendapatkan respons Hannah dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berhubung perkara itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram