KEHADIRAN penyerang muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak sememangnya menjadi kejutan yang bermakna buat penyokong skuad Seladang dan ramai tidak sabar melihat aksinya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.
Selepas berkelana hampir empat tahun di bumi Jepun, ramai yang tidak menyangka Hadi Fayyadh akan kembali menyinari Liga M dengan membuat keputusan untuk kembali ke negeri kelahirannya.
Kejutan dari pihak pengurusan skuad The Bos Gaurus nampaknya terus diingini oleh penyokong dan nama Luqman Hakim Shamsudin terus disebut-sebut akan menyarung jersi skuad Seladang.
Nama Luqman Hakim mulai dikaitkan dengan Perak FC selepas nasibnya bersama kelab Belgium, KV Kortrijk semakin samar berikutan pasukan berkenaan semakin aktif membawa masuk pemain baharu bagi musim 2023.
Pemain muda berusia 20 tahun itu tidak banyak mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab yang berpangkalan di Belgium tersebut. — Instagram/LuqmanHakim
"Ada kejutan lagilah kome (kalian). Tunggu kali ini mesti ramai melalak.. sabar ya... Dengar dah nak sign.. saja disimpan dulu nak tengok income pasukan macam mana kamu semua support...
"Maklumlah kamu semua yang melalak ni nak yang hebat saja, beri sokongan tidak nak. Tunggu semua, sabar! *Gambar sekadar hiasan tiada kena mengena dengan bentuk rambut ke telinga kah.. tengkok pemain tersebut," tulis laman penyokong skuad Seladang, Info Bolasepak Perak.
Selain menantikan kemungkinan kehadiran pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, nama pemain bola sepak berdarah Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal pula meniti di bibir penyokong Perak FC.
Pemain berusia 24 tahun itu kini sedang menempa nama bersama pasukan baharunya di Major League Soccer (MLS) apabila menyertai pasukan ST Louis City FC pada 2021.
Wan Kuzain kini menempah nama di bumi Amerika Syarikat. — Instagram/WanKuzain
Wan Kuzain setakat ini berjaya menjaringkan enam gol dan mencatatkan lima bantuan gol sepanjang musim lepas, meskipun hanya diturunkan sebagai pemain tengah bertahan.
"Kalau tengok keperluan posisi, peluang tinggi untuk Wan Kuzain, penyerang dah ada import, Hadi," komen penyokong Perak FC, Idham Arif.
"Terbaik Wan Kuzain," kata seorang lagi penyokong skuad Seladang, Amirul Asraf Abdul Rauff.
Jika Perak FC sedang dalam proses memikat Wan Kuzain, nampaknya skuad Seladang menjadi pasukan kedua menginginkan khidmatnya selepas Selangor FC yang sebelum ini dikaitkan dengan pemain tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram