MINGGU ini kecoh apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Ahad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuat kuasa serta-merta.
Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan bahawa peletakan jawatan yang disandangnya sejak Jun 2021 itu dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuh kepada kerjaya politik.
Pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA, sebelum disahkan secara rasmi sebagai Presiden SAFA dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa SAFA pada Jun 2021.
Selepas pengunduran Ahli Parlimen Kinabatangan itu, ada sesetengah pihak termasuk penyokong Sabah FC sendiri mulai membuat spekulasi bahawa skuad The Rhinos akan mengalami masalah dari segi dana kewangan.
Tampil mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir menegaskan bahawa peletakan jawatan Bung Mokhtar sama sekali tidak menjejaskan persiapan pasukan Sang Badak.
Pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA. — Facebook/Sabah FC
"Memang orang tanya status Datuk Bung. Persiapan Sabah FC setakat ini tiada yang terjejas dengan berita itu dan berjalan seperti biasa. Tahulah Sabah FC dan SAFA dua entiti berbeza.
"Sabah FC tidak terjejas dengan isu politik. Memang kita tahu Datuk Bung selalu beri semangat," katanya kepada Majoriti.
Dalam perkembangan terbaharu pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu, Marzuki berkata, skuad The Rhinos kini sedang merancang untuk membawa masuk lagi pemain baharu.
Selain itu, pihak pengurusan Sabah FC juga sedang sibuk membuat perancangan untuk perlawanan pramusim sebagai persediaan sebelum liga 2023 bermula.
"Kami dalam minggu kedua dan kita akan buat pramusim yang sedang dirancang oleh ketua jurulatih dan pengarah teknikal. Sedang cari tarikh yang sesuai untuk buat pramusim.
"Akan ada pemain baharu akan diumum dalam masa terdekat sebelum liga bermula," jelasnya.
Bukan itu sahaja, Sabah FC juga kini sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih serta menaik taraf Stadium Likas sebagai persiapan untuk Piala AFC 2023 dan saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram