VIETNAM menepati ramalan mara ke final Piala Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 apabila menewaskan skuad Garuda 2-0 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Isnin.
Pasukan The Golden Star Warriors itu memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 menerusi jaringan Nguyen Tien Linh.
Bagaikan tersentak, Indonesia cuba merapatkan kedudukan namun tidak berjaya menembusi gawang lawan.
Malah, Sang Garuda gagal mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-23 selepas seorang pemain dari Indonesia dikasari pemain Vietnam di dalam kotak penalti.
Pengadil dari Jepun hanya melayangkan kad kuning kepada pemain terbabit, Bui Tien Dung dan memberi lontaran bola ke dalam buat Indonesia.
Ini sekali gus menyebabkan pengadilannya turut dipersoal pengulas sukan selepas insiden layangan kad merah Ryuji Sato kepada pemain Malaysia, Azam Azmi Murad.
Permainan bagaimanapun diteruskan namun pergaduhan tercetus pada minit ke-33 selepas pertembungan antara Asnawi Mangkualam dan Doan Van Hau yang menyaksikan Asnawi dilayangkan kad kuning.
Gol kedua yang dijaringkan oleh Tien Linh. — Facebook
Keputusan pengadil berbuat demikian terus dipersoal kerana kekasaran didakwa dilakukan oleh Van Hau, namun dia terus kebal daripada dikenakan tindakan sepanjang kempen berlangsung.
Situasi tegang seketika antara kedua-dua pasukan sebelum dileraikan oleh pengadil perlawanan.
Tidak sampai lima minit selepas perlawanan dimulakan semula, tercetus lagi insiden kekasaran pada minit ke-37 yang mana kali ini, Van Hau pula dilayangkan kad kuning.
Sebelum aksi pertama berakhir, Vietnam hampir menggandakan kedudukan pada masa tambahan namun bola itu berjaya ditampan oleh kaki penjaga gol, Nadeo Argawinata.
Bermula di separuh masa kedua, Vietnam terus melakukan serangan pantas sebelum berjaya membuka gol pada minit ke-46.
Tien Linh sekali lagi mencatatkan namanya sebagai penjaring selepas melakukan tandukan untuk gol kedua buat Vietnam di kedudukan lebih selesa.
Pada minit ke-88, Nguyen Quang Hai cuba mendapatkan gol ketiga namun tendangannya sedikit tersasar daripada tiang gol.
Dengan keputusan itu, Vietnam yang melangkah ke final bakal pemenang antara Harimau Malaya yang memiliki defisit satu gol ke atas Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram