Cheng Hoe semakin ‘bernafsu’, nekad sambar awang import terbaik untuk Gergasi Merah musim depan


  • Podium
  • Selasa, 10 Jan 2023

Cheng Hoe dikhabarkan sedang memburu pemain import terbaik buat pasukannya pada musim depan. — Facebook/Selangor FC

MENJELANG saingan Liga Super 2023 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih ‘bernafsu’ untuk mendapatkan pemain baharu bagi memperkuatkan pasukannya biarpun sudah berhasil menandatangani tiga pemain tempatan setakat ini.

Beliau berkata, skuad Gergasi Merah sedang giat untuk mendapatkan khidmat ‘awang import’ sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada pertengahan Februari ini.

Cheng Hoe bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai posisi pemain import yang dimahukannya.

"Pemain import yang kita kekalkan pada musim ini ialah Yazan Al-Arab, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan Hein Htet Aung manakala pemain tempatan yang dibawa masuk pula ialah Muhammad Faisal Abdul Halim, V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee.

"Untuk pemain import baharu kita masih mencari dan diharapkan dalam masa terdekat kita dapat mengisi kekosongan itu kerana masa kian suntuk kerana liga akan bermula 24 Februari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Selangor FC yang mengumumkan Ramon Marcote sebagai pembantu jurulatih kedua pada Isnin difahamkan sedang merencana beberapa perlawanan persahabatan di dalam mahupun luar negara sebagai persiapan pasukan menghadapi saingan musim ini.

"Setakat ini latihan pra musim sudah pun bermula namun disertai beberapa pemain sahaja manakala yang lain sedang beraksi bersama pasukan kebangsaan pada Piala AFF, jadi kita akan tunggu mereka selesai sebelum latihan penuh dijalankan.

"Saya mahu menyaksikan pasukan ini lebih meningkat daripada musim sebelumnya dan memberi saingan lebih hebat kepada mana-mana pasukan," kata Cheng Hoe.

Terdahulu, Selangor FC diwakili Ketua Pegawai Operasi, Alacdin Mostafa dan Pengurus Besar Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Lawrence Song menandatangani dokumen perjanjian kerjasama kedua-dua pihak sambil disaksikan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram