MUSIM 2023 menyaksikan banyak pemain bola sepak tanah air membuat keputusan untuk berhijrah ke negara jiran, Thailand bagi meneruskan karier profesional mereka.
Antara pemain yang sedang beraksi dan tidak lama di Liga 1 Thailand adalah Liridon Krasniqi ( Khon Kaen United), Safawi Rasid (BG Pathum United), Junior Eldstal (PT Prachuap FC) dan Dion Cools yang disahkan menyarung jersi Buriram United.
Bukan kali pertama berita mengenai pemain Malaysia yang mencuba nasib dan mengembangkan karier bola sepak dalam Liga 1 Thailand kerana sebelum ini beberapa bintang tanah air juga pernah beraksi di sana.
Bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha antara yang pernah beraksi di negara Gajah Perang dengan menyertai BG Pathum United pada musim 2020.
Norshahrul Idlan sewaktu beraksi bersama BG Pathum United. — Agensi
Pemain yang mesra dengan sapaan Matyo itu mencipta sejarah sebagai bintang bola sepak pertama Malaysia yang memenangi takhta liga di Thailand.
Berbicara mengenai keputusan beberapa pemain musim ini untuk beraksi di Liga Thailand itu, ada penyokong yang mulai risau dengan persembahan mereka nanti.
Hal ini kerana, rekod tonggak Malaysia di negara jiran tidaklah berakhir dengan kegembiraan apabila ada di antara mereka tidak dapat bersaing dengan pemain lain.
Misalnya, pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh kembali ke Malaysia, selepas empat bulan bersama kelab Liga Thailand, Police Tero FC.
Mengulas isu itu, Norshahrul Idlan berkata, pemain yang akan berkelana di Thailand musim ini perlu sentiasa fokus semasa sesi latihan.
"Bagi saya untuk bermain di luar sana perlu fokus dan bagi 100 peratus perhatian kerana kita tahu saingan lagi hebat dari liga kita. Sentiasa cepat biasakan diri dengan budaya di Thailand.
"Kita tahu liga Thai adalah liga terbaik di Asia Tenggara dan tak salah jika pemain kita pergi sana untuk bermain, cari minit permainan untuk kembangkan karier.
"Junior, Safawi dan yang lain tahu ranking liga Thai terbaik," katanya kepada Majoriti ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Al-Ikhsan X The Messi Brand di Sunway Pyramid pada Jumaat.
Safawi dipinjamkam ke BG Pathum pada musim ini. — Instagram/Safawi
Dalam perkembangan baharu, bekas pemain Melaka FC itu mendedahkan dia kini mahu mendapatkan lesen kejurulatihan kelas B, selepas berjaya melengkapkan lesen kelas C.
Sambil meneruskan rancanganya sebagai pengendali, Norshahrul Idlan akan terus beraksi bersama pemain kelab M3, Harini FT.
"Sekarang saya dah confirm dengan Harini FT. Saya dengan jurulatih P. Maniam di situ. Kami menyasarkan untuk pergi Liga Super.
"Tujuan saya untuk menyambung karier. Sambil-sambil saya baru habis lesen C coaching diploma. Fokus saya untuk jadi jurulatih, tengah tunggu lesen B," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram