Jay Chou sedia tangguh konsert tapi siapa perlu bayar ganti rugi?


  • Podium
  • Sabtu, 07 Jan 2023

KONSERT artis terkemuka dari Taiwan itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 15 Januari ini.

RAJA Mandopop, Jay Chou mengatakan bahawa dia sanggup menangguhkan konsertnya sementara menunggu keputusan perlawanan separuh akhir Piala Bola Sepak AFF Mitsubishi antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu malam.

Jika Malaysia layak ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada 16 Januari ini, maka terpulang kepada pihak berkuasa bola sepak dan penganjur konsert sama ada perubahan tarikh lain akan berlaku.

Perlawanan separuh akhir yang dinanti-nantikan itu dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.

Penyanyi antarabangsa itu membuat hantaran selepas ketidakpuashatian penyokong negara berikutan 59,000 tiket dijual bagi perlawanan pada Sabtu malam, manakala 21,000 lagi tidak boleh dijual berikutan persediaan pentas konsert tersebut.

"Kepada penyokong bola sepak Malaysia, saya tahu perlawanan itu amat penting buat anda.

"Saya sedia memberikan kerjasama untuk menangguhkan konsert tetapi anda harus bertanya kepada persatuan bola sepak atau pengurus venue jika mereka benarkan saya untuk menangguhkannya.

"Saya okay sahaja, saya hanya mahu menyanyi untuk peminat," tulisnya.

Proses pemasangan pentas persembahan konsert Jay Chou dari Taiwan sedang dijalankan di SNBJ. — Facebook

Bagaimanapun, penganalisis bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat keputusan untuk menangguhkan konsert berkenaan akan memerlukan pihak berkaitan untuk menanggung ganti rugi.

Hal ini kerana, jika dilihat struktur proses pemasangan pentas persembahan konsert Jay Chou sudah mencecah hampir 60 peratus siap.

"Sebenarnya konsert Jay Chou ini kebetulan sahaja dia buat konsert dan kita pula layak ke semi. Bila kita ke final baru ada isu. Tak boleh nak salahkan Jay Chou ataupun pihak penganjur sebab ia kebetulan.

"Cuma satu respons baik daripada dia sebab nak mengalah. Jika dia tangguh, pihak perbadanan perlu pastikan stadium bersih.

"Bagaimanapun, jika ditangguh siapa yang nak bayar ganti rugi dan pampasan? Kerana ia akan membabitkan kos yang besar," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Pekan Ramli juga berkata, memilih stadium lain adalah pilihan terakhir untuk dijadikan venue perlawanan Harimau Malaya.

Beliau berkata, SNBJ yang dikenali sebagai stadium keramat Harimau Malaya perlu dikekalkan sebagai venue pentas akhir kerana auranya mampu menimbulkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

"Sangat penting untuk malaysia beraksi di bukit jalil yang kita anggap stadium keramat. Aura kuat dan ribuan penyokong. Ia merupakan faktor penting untuk bantu Malaysia menang.

"Bagi saya tukar venue adalah pilihan terakhir tapi saya lebih suka jika perlawanan akhir ataupun game HM diadakan di SNBJ," jelasnya.

Jelasnya, walaupun beraksi di stadium berkualiti seperti Stadium Sultan Ibrahim (SSI) masih tidak dapat menandingi aura Bukit Jalil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram