Kehadiran Endrick bikin 2 tonggak JDT perlu fikir untuk keluar atau berjuang


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Endrick diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan pada musim 2023. — Facebook/Penang FC

PEMENANG Liga Super kali kesembilan berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT), akhirnya mengumumkan Endrick Dos Santos sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan pada musim 2023.

Berita perpindahan pemain Penang FC itu diumumkan oleh skuad Harimau Selatan menerusi hantaran video di laman media sosial rasmi mereka pada Khamis.

Penghijrahan Endrick ke pasukan berpangkalan di selatan tanah air itu bukanlah suatu perkara yang mengejutkan kerana pemain berusia 27 tahun tersebut sudah lama dikaitkan dengan JDT.

Malah, Endrick juga dikatakan akan berdaftar sebagai pemain naturalisasi memandangkan dia sudah berkelana di Malaysia selama lima tahun sebagai tonggak import beberapa pasukan Liga Super.

Antara pasukan yang pernah menggunakan khidmat pemain kelahiran Brazil itu ialah Felcra FC (2017-2018), Selangor (2019-2020) dan dua musim bersama Penang FC.

WhatsApp Image 2023-01-06 at 11.30.05

Endrick mula menyertai Penang FC pada musim 2020. — Instagram/Endrick

Keputusan Endrick menyarung jersi Harimau Selatan mendapat tentangan daripada pelbagai penyokong yang mana mereka berpendapat bekas jeneral tengah Harimau Kumbang itu akan hanya membuang masa di bumi Johor.

Sebagai contoh pemain kacukan Malaysia, Daniel Ting dan Junior Eldstal yang hanya beraksi bersama JDT II selepas mereka berhijrah ke Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua tahun lalu.

Bagaimanapun, nasib Endrick mungkin tidak akan sama dengan dua pemain tersebut kerana dia mempunyai lagi masa untuk menunjukkan kebolehannya dengan pengendali baharu JDT, Esteban Solari.

Jika bekas kapten Harimau Kumbang itu mampu membuktikan kepakarannya sebagai arkitek tengah, dua pemain tempatan diramal terpaksa bergelut untuk mendapatkan minit permainan.

Dua pemain tengah JDT yang dimaksudkan ialah Afiq Fazail dan Nazmi Faiz Mansor.

WhatsApp Image 2023-01-06 at 11.30.39

Afiq Fazail antara pemain yang menyinar bersama JDT musim ini. — Instagram/Afiq

Jika dibandingkan antara dua pemain kebangsaan itu, Afiq merekodkan lebih banyak minit permainan iaitu sebanyak 1,987 minit sepanjang kejohanan bersama JDT musim ini.

Manakala, Nazmi Faiz pula mengumpul sebanyak 1,586 minit permainan sepanjang musim 2023.

Oleh itu, menjadi kerisauan dalam kalangan penyokong adalah dengan kehadiran Endrick ke JDT, dua pemain tersebut mungkin akan berebut tempat.

WhatsApp Image 2023-01-06 at 11.30.51

Nazmi merupakan pemain Selangor FC sebelum berhijrah ke JDT. — Instagram/Nazmi

Ada juga penyokong yang meramalkan ada di antara mereka akan menjadi dipinjamkan ke kelab lain seperti nasib Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah dan Azrif Nasrulhaq.

Sekiranya rezeki tidak memihak kepada dua pemain itu di JDT, beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) seperti Sri Pahang FC, Kelantan FC dan mungkin Terengganu FC yang sudah kehilangan Manuel Ott boleh memikat Afi dan Nazmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram