MASALAH ekonomi yang melanda Perak FC bermula pada 2019 menyebabkan pasukan itu terpaksa melepaskan beberapan bintang berikutan kegagalan mereka untuk menyelesaikan tunggakan gaji.
Antara pemain yang mula mengangkat kaki daripada The Bos Gaurus (TBG) ialah pertahanan kiri, Nazirul Naim Che Hashim yang merupakan antara pemain terbaik ketika itu.
Malah, bek kiri kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu juga merupakan salah seorang pemain terbaik dalam skuad Harimau Malaya dengan fizikalnya yang kental dan larian deras.
Nazirul kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai Sabah FC pada 2021 yang ketika itu bukanlah satu pasukan yang memberi saingan hebat dalam aksi Liga Super.
Tetapi, pada awal musim lalu, pihak pengurusan Sang Badak bertindak tegas demi masa depan pasukan apabila melantik bekas ketua jurulatih skaud kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.
Sepanjang berada di bawah kendaliannya, pasukan Borneo itu dilihat menghadapi perubahan ketara, termasuk Nazirul yang semakin matang dalam aspek permainannya.
Nazirul merupakan antara pertahanan kiri terbaik pernah dimiliki skuad Harimau Malaya.
Berdasarkan statistik musim lepas, pertahanan kiri itu diturunkan sebanyak 15 kali dalam saingan Liga Super, termasuk berjaya mencatatkan satu bantuan gol.
Kepercayaan yang diberikan itu jelas memulangkan hasil kepada Kim Swee apabila Sabah FC layak ke pentas Asia buat pertama kali sejak 1995 dengan rekod pertahanan yang mantap.
Bagaimanapun, kecederaan yang kerap melanda Nazirul jelas mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong dan pasukan sehingga terpaksa meletakkan pemain lain di posisi tersebut.
Selain itu, terdapat juga ura-ura yang mengatakan bahawa hatinya sudah tidak lagi terpaut dengan skuad Sang Badak sehingga memberi kesan negatif terhadap permainannya.
Oleh itu, selepas mencapai persetujuan antara kedua-dua pihak, bekas pemain FC Ryukyu tersebut memilih untuk meninggalkan pasukan itu dengan menamatkan kontraknya serta-merta.
Sehingga kini, masih tiada pengumuman daripada mana-mana pasukan yang bersedia untuk mendapatkan pertahanan itu walaupun usianya belum mencecah 30-an.
Namun, melihat kepada situasi beberapa pasukan Liga Malaysia, terdapat tiga kelab yang sesuai untuk mendapatkan khidmat Nazirul bagi musim akan datang.
1. Perak FC
Pengumuman mengenai perubahan yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semestinya diterima baik penyokong Perak FC apabila pasukan itu layak ke divisyen teratas bola sepak tempatan secara automatik.
Menyedari akan pelung itu, XOX Pro Sport Sdn Bhd mengambil keputusan untuk melakukan rombakan terhadap skuad, bermula dengan pelantikan Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih baharu.
Tidak cukup dengan itu, pelaburan turut dilakukan ketika jendela perpindahan Liga Malaysia dengan membawa masuk wajah-wajah baharu bagi menggantikan pemain yang berpindah.
Namun, setakat ini, mereka difahamkan masih belum memiliki seorang pertahanan kiri yang berpengalaman dan berkualiti dari aspek serangan mahupun pertahanan.
Nazirul pernah berkhidmat bersama skuad TBG untuk beberapa musim. — Perak FC
Walaupun pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi menegaskan bahawa dia sudah berpuas hati dengan skuad TBG ketika ini, posisi tersebut dirasakan cukup penting untuk diperbaiki.
Nazirul merupakan salah satu calon terbaik untuk ditandatangani apabila dia pernah mewakili pasukan di negeri kelahirannya itu untuk lima tahun bermula pada 2016.
Selain itu, dengan pemain tersebut masih tidak terikat dengan mana-mana pasukan, segelintir penyokong mula berharap pihak pengurusan akan bertindak untuk mendapatkannya.
Jadi, sekiranya keputusan tersebut diambil, ia akan menjadi satu pulangan pelaburan yang cukup baik dengan orang ramai pasti akan lebih tertarik untuk turun ke Stadium Negeri Perak untuk menyaksikannya secara langsung.
2. Kuala Lumpur City FC
Berdasarkan khabar angin di media sosial, sebuah pasukan Liga Super iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC berminat untuk mendapatkan bekas pemain Harimau Muda itu.
Ini berpunca daripada ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mengatakan Nazirul akan ke Lembah Klang bersama Khair Jones yang dilepaskan Negeri Sembilan FC.
Hal tersebut dilihat wajar apatah lagi dengan skuad Warga Kota hanya memiliki Declan Lambert sebagai pertahanan kiri senior sehingga dia terpaksa diturunkan dalam hampir kesemua perlawanan musim lepas.
Selain itu, pasukan yang berada di bawah kendalian Bojan Hodak itu mula kehilangan beberapa pemain, termasuk Hadin Azman dan Irfan Zakaria dengan kedua-dua mereka berhijrah ke Penang FC dan Sabah FC.
Declan (kanan) merupakan satu-satunya pertahanan kiri senior dimiliki skuad Warga Kota.
Bagi Nazirul, keputusan untuk menyertai juara Piala Malaysia 2021 itu dilihat satu langkah yang tepat apabila dia akan sekali berganding dengan bekas pemain Perak FC, Kenny Palraj dan J Partiban.
Kebolehan pemain berusia 29 tahun itu untuk diturunkan sebagai pemain sayap menyerang juga merupakan satu tarikan dengan KL City FC juga memerlukan seseorang di posisi tersebut.
Namun, persoalannya, adakah pihak pengurusan akan terbuka untuk menerima pemain itu yang kerap dilanda kecederaan sehingga boleh merencatkan percaturan di atas padang?
Di samping itu, adakah Hodak akan membuat perjudian itu apabila Lambert masih memerlukan minit permainan untuk menambah pengalamannya bersama skuad utama?
3. Negeri Sembilan FC
Meskipun sudah kehilangan hampir keseluruhan pemain pertahanan ketika jendela perpindahan, Negeri Sembilan FC masih berdiam diri dalam membawa masuk wajah-wajah baharu.
Antara pemain yang disahkan tidak akan lagi bersama pasukan itu ialah Khair Jones walaupun khidmatnya ditagih ketua jurulatih, K Devan sepanjang musim lepas.
Menurut khabar angin yang bertiup kencang, skuad Jang sedang berusaha untuk mendapatkan bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli yang tidak lagi terikat dengan Petaling Jaya (PJ) City FC.
Mahali (kanan) difahamkan bakal dirisik Negeri Sembilan FC. — Facebook/PJ City FC
Walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun, pemain kelahiran Selayang, Selangor itu masih membuktikan kemampuannya musim lepas apabila masih boleh mengumpul 21 penampilan dalam Liga Super.
Bagaimanapun, meskipun kariernya semakin menemui penghujung, Mahali masih beraksi dengan cemerlang, termasuk dari segi serangan dengan dia berjaya menghasilkan lima hantaran gol.
Oleh itu, kehadirannya ke dalam skuad Negeri Sembilan FC musim depan pastinya bukanlah satu langkah yang negatif sekiranya mereka mahu mengekalkan prestasi yang dicatatkan tahun ini.
Namun, persoalannya, adakah Mahali dapat mengekalkan tahap kecergasannya apatah lagi dengan cabaran besar yang bakal dihadapi skuad Jang pada 2023?
Jadi, dalam menyelesaikan isu tersebut, Nazirul boleh menjadi pemain gantian kepada veteran itu selain boleh memastikan Devan tidak perlu terlalu runsing akan pemain yang dimiliki.
Berdasarkan pemerhatian, Nazirul merupakan seorang pertahanan yang boleh melakukan larian awal untuk merancang serangan, tetapi masih bertenaga dalam membantu benteng pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram