PRESTASI kurang memberangsangkan skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuatkan mereka terpaksa akur di kedudukan keenam dalam saingan Liga Super setakat ini.
Kemasukan pemain seperti Ronald Ngah Wanja dan Mahmoud Al-Mardi ketika jendela perpindahan hanya dilihat mampu memberi kelebihan buat jentera serangan dengan perkara itu seperti sudah dibuktikan dengan sumbangan gol kedua-dua pemain import itu.
Namun, di benteng pertahanan pula, kekurangan penekanan ketika jendela perpindahan memberi kegoyahan sehingga pasukan itu sedikit sukar untuk menyekat serangan lawan.
Seperti semua maklum, posisi pertahanan kiri skuad Sang Kenari kini berada di tahap kritikal kerana tidak banyak pilihan pemain yang boleh bermain di kawasan itu.
Usaha skuad Kedah yang meletakkan pemain-pemain muda seperti Azmeer Yusuf, Ariff Farhan dan Azmeer Aris seringkali tidak tahan lama ekoran daripada kegagalan mereka menyesuaikan diri dengan pasukan.
Berikut merupakan beberapa nama yang boleh dipertimbangkan skuad Sang Kenari sekiranya mahu menyeimbangkan kekuatan pasukan mereka pada musim hadapan.
Usia muda Alif merupakan bonus buat skuad Kedah FC. — Facebook/Terengganu FC
1. Alif Zakaria (Terengganu)
Pemain berusia 24 tahun ini boleh dianggap sebagai kunci kekuatan kereta kebal Terengganu FC apabila sentiasa mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk membarisi kesebelasan utamanya.
Sepanjang bersama Terengganu musim ini, Alif telah mengumpul 1,387 minit permainan dalam 17 penampilannya bersama skuad Sang Penyu pada saingan Liga Super 2022.
Sumbangan Alif Zakaria jelas berjaya membantu pasukannya apabila pasukan Pantai Timur itu hanya dibolosi sebanyak 18 kali, satu rekod yang hanya diatasi Johor Darul Takzim.
Selain itu, Alif juga mempunyai pengalaman yang berharga selepas dia diturunkan semasa perlawanan akhir Piala FA 2022 meskipun tunduk di tangan Harimau Selatan.
Jadi, sekiranya KDA FC bercita-cita besar dalam menambah baik kualiti pasukan, kehadiran pemain kelahiran Terengganu itu dilihat mampu melonjakkan lagi prestasi pasukan itu dalam masa akan datang.
Usia Alif yang muda juga dirasakan mampu kekal dalam skuad Sang Kenari sekali gus tidak mendatangkan kegusaran dalam mencari pengganti untuk mengisi posisi bek kiri itu.
Pengalaman Zamri mampu memantapkan bahagian pertahanan Kedah. — Facebook/NSFC
2. Zamri Pin Ramli (NSFC)
Kereta kebal skuad Jang ini bukan sahaja gagah di benteng pertahanan, malah dia juga telah menyumbangkan satu gol dan menghadiahkan satu bantuan gol kepada rakan sepasukannya.
Ini membuktikan Zamri sebagai seorang pemain yang bijak mencuri kesempatan untuk menggasak ke gawang lawan sekali gus mencipta gol kejutan buat pasukan mereka.
Biarpun usianya telah mencecah 31 tahun, namun pengalaman dimilikinya bukan sahaja mampu membantu memantapkan bahagian pertahanan, malah membimbing pemain muda di posisi tersebut.
Nazirul mampu bermain di tiga posisi berbeza. — Facebook/ Sabah FC
3. Nazirul Naim (Sabah)
Pemain berasal Kuala Kangsar, Perak ini memiliki kelebihan tersendiri apabila mampu bermain di pelbagai posisi seperti pemain tengah belakang, pemain tengah kiri dan pemain sayap kiri.
Biarpun turun sebagai benteng pertahanan, Nazirul turut mencipta kejutan apabila berhasil menyumbang satu gol dan memberi satu bantuan gol buat rakan sepasukan pada musim ini.
Namun, mampukah KDA FC dengan pemilikan baharu menyambar Nazirul daripada The Rhinos selepas pasukan itu mengalami revolusi tersendiri di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Sabah FC ketika ini berada dalam tahap teratas selepas berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga dan ia pastinya menghidupkan peluang untuk beraksi di pentas Asia musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram