Bintang fleksibel HM teruja sertai kelab elit Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Ruven dan rakan-rakan sepasukan Harimau Malaya mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan Piala AFF 2022. — Facebook/FAM

SELANGOR FC pada bulan lalu dilihat rancak mengumumkan kemasukan beberapa pemain baharu yang akan memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2023.

Antara pemain yang dilaporkan berjaya dipikat skuad Gergasi Merah pada musim ini ialah tonggak dari Petaling Jaya (PJ) City FC, V. Ruventhiran.

Ruventhiran atau lebih mesra dengan sapaan Ruven dijangka akan menguatkan jentera sayap pasukan The Red Giants berikutan sebelum ini dia menyinar bersama skuad The Phoenix dalam posisi yang sama.

Pemain berusia 21 tahun itu bukan nama yang asing dalam bola sepak Selangor kerana Ruventhiran merupakan anak jati Klang, Selangor dan merupakan produk skuad remaja Gergasi Merah sebelum karier profesionalnya dalam kancah bola sepak Malaysia.

"Saya tidak ada kerisauan untuk musim ini. Saya bersemangat sebab Selangor ialah kampung saya.

"Saya membesar di sana dan saya seronok untuk kembali. Saya bersemangat. Saya nak main juga untuk Selangor," katanya kepada Majoriti.

ruven selangor

Ruventhiran merupakan anak jati kelahiran Klang. — Facebook/Selangor FC

Ruven pernah beraksi bersama pasukan Belia Selangor pada 2019 kemudian diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden kelab Lembah Klang itu pada tahun berikutnya.

Kini Ruven sedang sibuk dengan menjadi tonggak skuad Harimau Malaya dalam kejohanan Piala AFF 2022 dan dia merupakan antara pemain yang sering mempamerkan aksi terbaik.

Bintang muda itu berkata, fokusnya kini adalah untuk memberikan segalanya untuk Harimau Malaya dan akan cuba untuk memberi yang terbaik buat Selangor apabila liga bermula nanti.

"Selepas tugas negara selesai, baru saya akan fikirkan pasal kelab. sampai sekarang saya tidak fikirkan tentang kelab kerana negara lagi penting. Sekarang kita tengah buat tugas.

"Lepas ini saya balik kelab saya akan kenal pemain baru, jurulatih baharu. Dengan Selangor saya akan terus kerja keras dan akan dapatkan tempat di sana," jelasnya.

WhatsApp Image 2023-01-05 at 22.02.28

Ruven merupakan antara tonggak Harimau Malaya yang menyinar dalam kempen Piala AFF 2022. — Facebook/FAM

Dalam pada itu, saat mengulas mengenai posisinya yang bertukar dari pemain sayap ke barisan pertahanan, Ruven percaya dengan percaturan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon.

"Barisan jurulatih banyak mengajar saya untuk bermain di posisi sekarang ini dan saya berikan kredit kepada mereka mengenai perkara ini.

“Sebagai pemain, saya tidak kisah bermain di posisi sayap ataupun pertahanan. Saya perlu adapt dengan semuanya sama ada jadi winger ataupun defend,” kata tonggak fleksibel yang mampu beraksi di pelbagai posisi berbeza itu.

Ruven dijangka berada dalam perancangan Pan-gon menjelang pertemuan menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram