SEBELUM musim 2022 melabuhkan tirai, khabar angin perpindahan dua bintang Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid ke Sabah FC kecoh dibualkan oleh penyokong bola sepak tanah air.
Safawi sudah diumumkan sebagai pemain pinjaman ke Ratchaburi FC, kelab bola sepak yang beraksi di Liga Thailand Divisyen 1, sekali gus melenyapkan khabar angin yang mengaitkannya ke kelab Borneo itu.
Aksi Akhyar memberi bantuan gol kepada rakan sepasukan, Syahmi Safari. — Facebook
Berbeza pula dengan Akhyar yang masih belum diketahui nasibnya hingga sekarang. Begitupun, rumours perpindahannya yang semakin sepi tiba-tiba dihangatkan kembali selepas satu perkongsian dibuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail atau TMJ pada Rabu memuat naik nama-nama pemain JDT dengan posisi masing-masing di Instagram Story miliknya.
Nama-nama regular JDT seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri, Corbin Ong, Natxo Insa, Leandro Velazquez, Arif Aiman, Shane Lowry, Jordi Amat, Shahrul Saad, Matthew Davis dan Farizal Marlias tersenarai dalam formasi tersebut.
Perkongsian TMJ di Instagram Story pada Rabu.
Turut disenaraikan ialah bintang import baharu kelab itu, Diogo Luis Santo dari Brazil yang diperkenalkan JDT pada Rabu.
Berdasarkan rangka formasi yang dibentuk itu, Diogo diletakkan di posisi sayap kanan sekali gus mengambil tempat Arif Aiman dengan pemain itu diletakkan di bahagian tengah.
Timbul tanda tanya mengenai kedudukan Akhyar sebagai pemain sayap kiri dalam formasi itu selepas namanya tiada dalam senarai tersebut.
Nama initial AR yang dikaitkan dengan Akhyar tular di laman KDA FC Fans. — Facebook
Berikutan itu, ada penyokong yang mengaitkannya ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas satu perkongsian nama initial AR yang dikaitkan dengan Akhyar tular di laman penyokong pasukan negeri Jelapang Padi itu.
Begitupun, ramai yang menganggap hal itu tidak mungkin terjadi kerana tempat itu diisi oleh naturalisasi sensasi, Lee Tuck yang melengkapkan slot kuota pemain tempatan terakhir pasukan Sang Kenari.
Walau apa juga spekulasi, pengumuman pemain import dan pasukan Liga Super musim 2023 akan dibuat oleh pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar pada Khamis tentunya akan melerai segala persoalan.
Akhyar (kiri) dan Safawi pernah dikaitkan dengan Sabah FC pada musim lalu. — Facebook
Susulan itu, ramai mengandaikan The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee adalah destinasi Akhyar bagi saingan musim ini seperti 'senarai bocor' Sabah FC yang pernah tular sebelum ini.
Namun demikian, kemungkinan Akhyar ke Sabah sekadar rumours bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana berdasarkan transfermarkt.com, kontrak pemain berusia 23 tahun itu tidak jelas.
Pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam pernah menyatakan bahawa JDT masih berminat untuk mengikat Akhyar namun tidak menyangkal dakwaan dia mungkin dipinjamkan.
“Akhyar Rashid akan kekal ke JDT, tapi kekal tak bermaksud dia akan bermain untuk JDT. Boleh jadi dia dipinjamkan,” ujar Zulhelmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram