[VIDEO] Penyokong fanatik alami mimpi ngeri selepas abadikan nama Messi di dahi, pipi


  • Benua
  • Ahad, 01 Jan 2023

Jambs pada awalnya mempertahankan keputusannya ketika dikritik orang ramai selepas memut naik rakaman tatu pelik itu di Instagram.

SEORANG peminat Lionel Messi mendakwa bahawa dia kini menyesal selepas mencacah tatu nama bintang bola sepak Argentina itu susulan kemenangan pasukan tersebut dalam Piala Dunia 2022, lapor MailOnline pada Jumaat.

Pempengaruh media sosial Columbia, Mike Jambs melakar perkataan Messi di dahinya dan tiga bintang di salah satu pipinya untuk setiap kemenangan Argentina dalam Piala Dunia.

Selain itu, perkataan D10S dilakar di pipi lain yang merupakan gabungan perkataan Sepanyol untuk Tuhan dan nombor jersi sinonim dengan Messi iaitu angka10.

Jambs pada awalnya mempertahankan keputusannya ketika dikritik orang ramai selepas memuat naik rakaman tatu pelik itu di Instagram.

“Saya tidak membahayakan sesiapa, saya tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun pada Jumaat, dia akhirnya berharap untuk memutarkan masa ke belakang semula.

“Saya menyesal telah mencacah tatu kerana daripada membawa perkara positif, ia sebaliknya membawa banyak perkara negatif, baik secara peribadi mahupun ke atas keluarga,” jelas Jambs.

Sebelum ini, pelukis-pelukis tatu telah dibanjiri dengan permintaan ramai peminat untuk mengabadikan penghormatan kepada Messi selepas kemenangan Argentina dalam Piala Dunia Qatar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram