[VIDEO] Kematian dicemburui, lelaki berkopiah hitam rebah ketika rakaat ke-2 solat Maghrib berjemaah


  • Benua
  • Khamis, 29 Dis 2022

Tangkap layar video seorang lelaki yang berkopiah hitam memakai baju putih rebah dan meninggal dunia.

MEDIA sosial di Indonesia heboh selepas tular satu rakaman kamera litar tertutp (CCTV) di sebuah masjid yang merakamkan kejadian seorang lelaki meninggal dunia ketika solat berjemaah di Masjid Cakung, Jakarta Timur, Indonesia baru-baru ini.

Menurut laporan Kumparan News, video yang tular itu menunjukkan seorang lelaki yang berkopiah hitam memakai baju putih berada di saf kedua ketika kejadian.

Dia kemudiannya tiba-tiba rebah ke lantai masjid dan beberapa jemaah lain segera memberikan pertolongan kepada lelaki tersebut.

Jemaah juga segera membawa lelaki itu ke hospital untuk mendapatkan bantuan sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Cakung, Syarifah Chaira Sukma telah mengesahkan kejadian berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan pada Isnin lalu, pukul 6.10 petang, ketika solat Maghrib, seorang jemaah berusia 61 tahun itu telah tumbang pada rakaat kedua dan segera dibantu oleh jemaah lain untuk membawanya ke hospital,” katanya.

Menurut Syarifah lagi, kejadian itu berlaku ketika lelaki terbabit sedang menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Jami Al-Wahid, Penggilingan, Jakarta, Indonesia.

Lelaki itu dilaporkan meninggal dunia kerana menghidap penyakit dan tidak ada perbuatan jenayah berlaku sewaktu kejadian.

“Tiada sebarang kelakukan jenayah, meninggal dunia kerana sakit,” ujar Syarifah.

Namun begitu, beliau tidak menjelaskan penyakit yang dihidapi lelaki itu termasuklah identiti lelaki tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram