SKUAD Harimau Malaya berjaya mengumpul tiga mata penuh dalam aksi pertama Kumpulan B Piala AFF 2022 selepas menundukkan Myanmar dengan skor 1-0 di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu.
Penjaga gol Harimau Malaya, Ahmad Syihan Azmi muncul wira apabila berjaya menidakkan peluang terbaik tuan rumah untuk menyamakan kedudukan apabila menepis sepakan penalti penyerang Myanmar, Myat Kaung Khant pada saat-saat akhir apabila bola terkena tangan Sharul Nazeem sebelum itu.
Pada masa sama, Syihan yang juga Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 dilihat sempat menari sakan selepas menepis bola keluar ketika sepakan penalti, sama seperti mana penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez ketika final Piala Dunia tempoh hari.
Kemenangan yang dicatatkan menerusi jaringan tunggal penyerang sayap, Faisal Halim pada minit ke-52 sudah cukup untuk memberi kelegaan kepada anak-anak buah Kim Pan-gon.
"Terima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang sanggup datang ke sini, Alhamdulillah. Semua perlawanan sama penting seperti mana hari ini, nampak kami agak bergelut pada babak pertama. Jadi, kami harus mencuba yang lebih baik selepas ini (bertemu Laos dan Vietnam).
"Siapa menjaringkan gol tak penting, yang penting kami menang dan kalah sebagai satu pasukan," kata Faisal selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, walaupun kejayaan itu berjaya dicatatkan, tinjauan di media sosial mendapati rata-rata penyokong masih kurang berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan skuad kebangsaan.
Hal itu adalah kerana pasukan Myanmar dilihat sering menggagalkan hantaran pemain kebangsaan sehingga menyebabkan mereka bergelut sepanjang perlawanan.
"Kawalan bola Harimau Malaya hancur, hantaran bola pun sama. Aduhai, isu komunikasi antara pemain perlu ditangani dengan segera jika mahu layak ke peringkat seterusnya," kata Aziz Shamsudin.
"Apa yang membuatkan pemain tidak boleh berdisiplin asas dalam bola sepak? Kelemahan yang sangat teruk kerana hendak menahan bola pun tidak boleh buat dengan baik," kata Hans Himmler.
Skuad kebangsaan bakal meneruskan misi dengan aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan B pada Rabu malam, Vietnam membelasah Laos dengan kemenangan besar 6-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram