SEBELUM penyokong bola sepak dikejutkan dengan kemaraan pasukan underdog, Maghribi ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022, penyerang berbisa Perancis, Kylian Mbappe sudah awal-awal meramalkan bahawa skuad Les Blues akan menentang The Atlas Lion pada kejohanan itu.
Menerusi video yang dihasilkan oleh beIN Sports pada Januari tahun ini, pemain berusia 23 tahun itu sudah bermimpikannya akan menentang rakan baiknya, Achraf Hakimi pada Piala Dunia 2022.
Video tersebut dirakam di Stadium Education City, Qatar dan menunjukkan penjaring terbanyak kejohanan berkenaan berjenaka mengenai kemungkinan dia akan menentang rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) itu.
"Kami berada di sini di Stadium Education City yang mana boleh memuatkan 40,000 penyokong ketika perlawanan Perancis menentang Tunisia nanti.Saya harap kami akan menang. Selepas itu, kami akan menentang Maghribi dan saya perlu menewaskan rakan saya (Hakimi),” kata Mbappe.
Tonggak pertahanan pasukan dari Afrika Utara itu turut membalas kenyataan Mbappe dengan mengatakan bahawa dia akan menghancurkan impian Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2018 tersebut.
"Saya akan menghancurkannya," balas Hakimi yang juga bek kanan Maghribi itu.
"Itu akan mematahkan hati saya sedikit tetapi, anda tahu, itu bola sepak. Jadi akan akan mengalahkan rakan saya (Hakimi)," jawab Mbappe.
Keakaraban dua pemain PSG itu dapat dilihat apabila mereka sentiasa duduk bersebelahan dalam kapal terbang, berkongsi hobi dengan bermain permainan video serta bercuti bersama.
Malah, Mbappe dan Hakimi juga sering meraikan gol dengan menari seperti 'penguin' bersama Sergio Ramos di kelab Ligue 1 itu.
Bekas pemain Real Madrid itu turut melakukan tarian yang sama apabila menjaringkan penalti kemenangan menentang Sepanyol pada pusingan 16 kalah mati di Qatar.
Terdahulu, Mbappé pernah dikesan di Madrid bersama Hakimi sehingga muncul khabar angin menyatakan bahawa tonggak Les Blues itu semakin hampir untuk bersetuju ke pasukan Real Madrid.
Bagaimanapun, kunjungan ke Madrid hanyalah lawatan ke bandar tempat Hakimi dibesarkan.
Dalam pada itu, menjelang perlawanan Khamis ini, ketua jurulatih Maghribi, Walid Regragui mempunyai kepercayaan penuh terhadap Hakimi menjelang pertembungan awal pahi Khamis untuk mengawal Mbappe.
"Saya tidak ragu-ragu bahawa Hakimi akan berada dalam prestasi terbaik untuk mengatasi rakannya," kata Regragui dalam sidang akhbar pada Selasa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram