Bintang Croatia jadi pengganti, 5 tonggak import antara digugurkan TFC termasuk Faisal Halim


  • Podium
  • Rabu, 14 Dis 2022

Antara pencapaian TFC musim ini ialah berjaya menjadi naib johan Liga Super, Piala FA dan mendapat slot ke Piala AFC 2023. — Facebook/TFC

PERLANTIKAN Tomislav Steinbruckner sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi musim 2023 bagi menggantikan jurulatih terdahulu, Nafuzi Zain jelas membawa perubahan yang banyak kepada pasukan tersebut.

Pengendali dari Croatia itu akan bertanggungjawab untuk meneruskan legasi positif pasukan Terengganu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023 dan juga saingan Piala AFC 2023.

Antara perubahan terbaharu yang berlaku selepas lantikan pengendali tersebut ialah skuad TFC mengambil pendekatan untuk melepaskan hampir sebahagian besar pemainnya pada musim ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi kelab, skuad Penyu mengucapkan terima kasih kepada 12 pemain yang dilepaskan selepas bersama kelab itu menghadapi musim 2022.

WhatsApp Image 2022-12-14 at 1.26.23 PM

Antara pemain yang tidak lagi bersama Terengganu pada musim depan. — Facebook/TFC

"Terengganu FC hari ini ingin mengumumkan 12 orang pemain yang bakal meninggalkan pasukan ini bagi saingan musim hadapan. Kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih atas segala jasa mereka selama bersama kelab ini dan selamat maju jaya diucapkan untuk karier mereka seterusnya.

"Sememangnya penghijrahan para pemain adalah lumrah biasa dalam bolasepak namun kami berharap kenangan bersama kelab ini dapat kita kenang bersama dan para pemain dapat sentiasa merasakan darah hitam putih sentiasa mengalir didalam diri anda," tulis kenyataan tersebut.

Seramai tujuh orang pemain tempatan yang disahkan tidak lagi bersama Terengganu pada musim depan iaitu Shamirza Yusoff, Sharin Sapien, Nik Akif Syahiran, Arif Anwar, Hafizal Alias, Faisal Halim dan Azalinullah.

Selain dari 13 pemain tempatan ini, TFC turut melepaskan lima pemain import mereka, Manuel Ott, Kipre Tchetche, Kpah Sherman, Pape Diakite dan Petrus Shitembi dari senarai pemain untuk saingan musim hadapan.

Sebelum ini Tomislav menyatakan bahawa akan mengambil pemain import lain bagi memperkuatkan pasukan termasuk dua pemain kelahiran Croatia iaitu seorang di posisi serangan dan seorang lagi bagi posisi tengah bertahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram