'Kami akan usahakan', pemilik Kedah sahut cabaran ambil semangat Maghribi


  • Podium
  • Isnin, 12 Dis 2022

Maghribi merupakan pasukan Afrika pertama yang berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Dunia. — Agensi

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menjadi antara pasukan yang tampil membuat perubahan besar pada musim depan bagi memberi saingan sengit dalam kejuaraan Liga Malaysia (Liga-M) dan sekali gus dapat mengembalikan kepercayaan penyokong skuad Sang Kenari.

Antara perubahan yang dilakukan oleh pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu ialah melakukan rombakan pemain secara besar-besaran dengan menyingkirkan seramai 17 pemain termasuk lima tonggak import, selain melantik Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih baharu skuad Hijau Kuning bagi musim 2023.

WhatsApp Image 2022-12-12 at 10.37.15 AM (1)

Tiga pemain berpengalaman yang dilepaskan KDA FC. — Facebook KDA FC

Kemasukan bekas jurulatih TFC itu diharap akan membantu memberi nafas baharu kepada skuad Sang Kenari dan sekali gus dapat melahirkan ramai lagi bintang bola sepak dalam kalangan anak jati negeri jelapang padi itu.

Perkara tersebut juga sejajar dengan perancangan jurulatih berusia 44 tahun itu yang mana dia berkeinginan untuk membina dan menggilap bakat-bakat muda di Kedah.

Selepas melalui musim yang teruk dalam saingan Liga Super iaitu sekadar mengisi kedudukan kelapan dengan hanya memungut sebanyak 27 mata, perubahan tersebut sememangnya mendapat maklum balas positif dari kalangan penyokong Hijau Kuning.

Bukan hanya pihak pengurusan sahaja yang mempunyai ramuan buat skuad Sang Kenari pada musim depan, malah penyokong pasukan Hijau Kuning juga turut menyumbangkan idea mereka bagi membantu memacu kejayaan KDA FC.

WhatsApp Image 2022-12-12 at 10.51.35 AM

Barisan kejurulatihan KDA FC pada musim depan. — Facebook KDA FC

Menerusi satu perkongsian dari laman Facebook penyokong, Kedahan Green Yellow, mereka menyarankan agar pasukan tersebut boleh menganjurkan majlis solat berjemaah, bacaan surah Yassin dan melaksanakan program doa selamat untuk semua warga KDAFC.

Menurut laman penyokong tersebut, perkara berkenaan adalah bertujuan supaya pasukan Sang Kenari mendapat lebih keberkatan dan sentiasa dipermudahkan perjalanan untuk mengejar lebih banyak kejayaan pada musim 2023.

"Dengan mengambil semangat baharu era baharu yang mahu diterjemahkan oleh KDAFC. Kami ingin mencadangkan (beberapa perkara).

"Mungkin pihak KDAFC boleh menganjurkan majlis solat berjemaah,bacaan surah Yasin dan doa selamat untuk semua warga KDAFC, pihak, penaja, rakan strategik dan semestinya kelab penyokong dan penyokong setia Kedah Darul Aman.

"Sebelum ni memang dah buat. Mungkin kali ni boleh dibuat dengan skala yang lebih besar dengan kehadiran lebih ramai lagi penyokong. Mungkin boleh dibuat di Stadium Darul Aman atau Stadium Suka Menanti.

"Sekadar cadangan. Boleh dijadikan majlis sebegini sebagai acara tetap untuk permulaan musim baharu tiap-tiap tahun," cadang laman penyokong itu.

Selain itu, program sebegitu rupa juga diharap dapat mengembalikan semangat penyokong Sang Kenari yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan.

"Sementara kita berusaha melangkah ke era baharu dan cuba meninggalkan sejarah yang agak suram sebelum ini. Semoga langkah kita untuk cabaran musim depan diberkati dan dirahmati dan semestinya perjalanan musim depan lebih lancar tersusun tanpa sebarang masalah yang besar seperti sebelum ini..

"Ini juga sedikit sebanyak mungkin dapat menarik kembali semangat penyokong. Kita melangkah dan membina ke era baharu dengan cara kita sendiri. Mungkin ini yang pertama bagi kelab dalam liga Malaysia. Saya sebagai penyokong sekadar memberi secebis cadangan," tambahnya.

WhatsApp Image 2022-12-12 at 10.37.15 AM

Pasukan Maghribi melakukan sujud syukur sejurus sahaja disahkan mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022. — Agensi

Lebih menarik, cadangan daripada laman penyokong KDA FC itu adalah inspirasi daripada kisah pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi yang kini akan menentang skuad Perancis pada peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022.

"Kita ambil semangat Maghribi," tulisnya.

Maghribi mengejutkan ramai penyokong sukan nombor satu dengan kejayaan mereka menewaskan pasukan gergasi bola sepak seperti Belgium, Sepanyol dan menumpaskan Portugal 1-0 pada peringkat suku akhir Piala Dunia.

Kejayaan tersebut menjadikan Maghribi merupakan pasukan Afrika pertama yang berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.

Malah, detik meraikan kejayaan pasukan Maghribi juga menjadi perhatian dan contoh buat negara Islam lain apabila mereka bersujud di atas padang untuk berterima kasih kepada yang Sang Pencipta di atas kurniaan tersebut.

Justeru itu, tidak peliklah jika pasukan Kedah mengambil semangat Maghribi yang disifatkan sebagai pasukan underdog tapi mampu mengalahkan pasukan gergasi dengan keyakinan mereka terhadap ALLAH SWT.

Tidak menunggu lama untuk memberikan respons, pemilik saham terbesar KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, bahawa idea dari laman penyokong tersebut merupakan cadangan yang menarik.

"Alhamdulillah, satu pandangan yang menarik, unik dan mengujakan. InsyaALLAH, kami akan usahakan. Terima kasih dari KDA FC. Semoga kita diberkati selalu," komennya pada hantaran tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram