'Sasar atlet negara ke Sukan Olimpik, tak perlu saingi menteri terdahulu', antara pesan pakar kepada Hannah Yeoh


  • Podium
  • Isnin, 05 Dis 2022

Hannah berdepan tugas sukar mengembalikan kegemilangan sukan negara.

PELANTIKAN Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan dipercayai mampu memberi impak positif terhadap sukan negara.

Penganalisis Sukan, Datuk Jamal Nasir berkata, peluang dan ruang harus diberikan kepada Hannah untuk membuktikan kemampuannya menerajui kementerian tersebut.

Jamal-Nasir-Piala-Malaysia-2020-Batal

Datuk Jamal Nasir

"Kita tidak boleh membandingkan beliau dengan menteri sebelum ini kerana setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk bekerja.

"Kepercayaan harus diberikan dan kita dapat lihat sebelum ini, Hannah mampu melakukan tugas yang baik ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya kepada Majoriti.

Kata Jamal, Hannah bagaimanapun berdepan tugas berat menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Banyak perkara harus dilakukan Hannah untuk memastikan sukan di negara ini terus berkembang dan mampu menyaingi negara lain.

"Saya berpendapat, Hannah harus fokus membawa atlet ke Sukan Olimpik pada 2024 dan banyak perkara perlu diambil kira untuk meningkatkan prestasi sukan negara," jelasnya.

WhatsApp Image 2022-12-05 at 1.06.30 PM

Datuk Dr Pekan Ramli

Sementara itu, Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, beliau positif dengan pelantikan Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Saya percaya Hannah akan cepat belajar dan memahami peranannya kerana beliau dikelilingi pegawai serta pengurusan tertinggi yang sangat berpengalaman.

"Pada pandangan saya, Hannah tidak perlulah cuba menyaingi kemampuan menteri terdahulu, masing-masing ada kelebihan tersendiri namun beliau perlu menonjolkan kepimpinannya," katanya.

Kementerian-Belia-dan-Sukan

Bangunan Kementerian Belia dan Sukan.

Tambah Pekan, KBS perlu menonjolkan program-program melibatkan golongan belia bagi memastikan sukan negara terus berjaya.

"Beliau harus melakukan penambahbaikan bagi mewujudkan keseimbangan antara program-program belia dan sukan.

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Hannah dan berharap beliau mengembalikan kegemilangan sukan tanah air," katanya.

Pada Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai 28 Menteri dipilih menjadi sebahagian barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan terdiri daripada PKR (8), Umno (6), GPS (5), DAP (4), Amanah (2), UPKO (1), GRS (1) dan satu calon bebas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram