Tidak labur pemain baharu, JDT bukan pasukan pilihan musim depan — TMJ


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Musim ini JDT berjaya melengkapkan quadruple koleksi piala kelab tersebut selepas berjaya menjulang Piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. — Facebook/JDT

SELEPAS satu musim yang cemerlang, pemenang Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) bakal tampil sebagai bukan pasukan pilihan pada tahun depan.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh pemilik skuad Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa JDT harus dilabel pasukan 'underdog' musim depan.

Dalam satu sesi bersama media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin, Tunku Ismail berkata, JDT tidak akan melabur dalam mendapatkan pemain baharu meskipun banyak pasukan yang lain sedang melakukan penambahbaikan untuk saingan musim depan.

WhatsApp Image 2022-11-29 at 2.08.39 PM

Perlawanan persahabatan bersama kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund pada Isnin itu meyaksikan JDT tewas 1-4 kepada skuad Jerman tersebut. — Facebook/JDT

Tambah baginda, rekod cemerlang JDT pada tahun ini juga berkemungkinan tidak mampu diulangi sekali lagi.

Musim ini JDT berjaya melengkapkan quadruple koleksi piala kelab tersebut selepas berjaya menjulang Piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Bukan itu sahaja, skuad JDT II yang beraksi di saingan Liga Perdana turut dinobatkan sebagai juara.

WhatsApp Image 2022-11-29 at 2.08.39 PM-2

Tunku Ismail selepas kemenangan JDT pada kejohanan Piala Malaysia pada Sabtu. — Facebook/JDT

“Saya menganggap pada tahun 2023 ini, JDT adalah underdog kerana kami tidak melaburkan wang dan JDT bukanlah pasukan yang akan dicabar kerana kami lebih selesa untuk menjadi pasukan bukan pilihan ataupun underdog.

“10 tahun saya dalam industri bola sepak dan pada saya ini adalah kejayaan paling bermakna kerana kami menang banyak piala daripada pasukan bawah 12 tahun hinggalah ke pasukan utama dengan 35 perlawanan domestik tanpa kalah.

“Bagi saya ini adalah kejayaan yang paling hebat dalam karier saya di dalam industri bola sepak Malaysia sejak sedekad lalu dan saya rasa perkara ini takkan boleh dimenangi lagi. Saya yakin 100 peratus tetapi kalau boleh pencapaian ini diulangi ianya sangat bagus tetapi saya sedar ianya sangat sukar,” TMJ dipetik dari laporan Flash Sukan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai khabar angin perpindahan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed ke JDT, Tunku Ismail secara berseloroh mengatakan tidak mengenali pemain kelahiran Kelantan itu. — FlashSukan

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram