Andai Tomi bimbing TFC musim depan, 2 pemain bakal jadi 'next' Safawi Rasid


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Tomislav dikatakan calon terhangat untuk menggantikan tugas Nafuzi sebagai ketua jurulatih Terengganu FC. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS bermusim-musim bertarik-tali dengan pihak pengurusan, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya memilih untuk meninggalkan pasukan.

Kejayaan yang dicatatkan musim ini dilihat tidak dapat mengubati hati pengendali muda itu selepas dikatakan kurang diberi kredit daripada pihak pengurusan.

Persoalannya, siapakah yang sesuai untuk dilantik bagi menggantikan Nafuzi dalam meneruskan kegemilangan diraih skuad Sang Penyu sepanjang tahun ini?

Ketika ini, khabar angin kencang mengatakan bahawa jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner bakal mengisi kekosongan itu selepas bertahun-tahun berkhidmat di negeri Pantai Timur itu.

Selain pernah membimbing T-Team pada 2015 sehingga 2018, jurulatih berusia 56 tahun itu pernah bergelar pengarah teknikal Terengganu FC dalam menguruskan operasi serta menasihati barisan kejurulatihan dalam hari perlawanan.

Perkara itu turut diterima penyokong yang sudi untuk melihat Tomislav membimbing pasukan dengan imej dan reputasinya sebagai seorang yang tegas ketika sesi latihan.

Safawi-Rasid-T-Team-1050x695

Safawi (kanan) merupakan produk T-Team yang dibimbing Tomislav pada 2018.

Tidak cukup dengan itu, dia turut disegani ramai apabila pernah melahirkan beberapa bakat termasuk penyerang kebangsaan, Safawi Rasid serta nama-nama lain yang masih berkhidmat bersama Terengganu FC.

Namun, timbul satu lagi persoalan dalam kalangan penyokong dan pihak pengurusan mengenai kemampuan Tomislav untuk menggilap bakat-bakat dalam pasukan senior dan simpanan.

Melihat kepada prestasi kedua-dua skuad itu, mereka mengharungi satu kempen yang membanggakan dengan skuad utama Sang Penyu menduduki tangga kedua sementara Terengganu FC II menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga.

Di sebalik kehadiran pemain-pemain berpengalaman itu, terdapat bakat yang masih boleh dikembangkan Tomislav melihat kepada faktor usia serta kebolehan di atas padang.

1. Wan Fazli Ghazali

Terengganu FC II dilihat menjadi medan buat pemain muda untuk mendapatkan minit permainan berharga sebelum boleh dibawa masuk ke dalam skuad utama.

Salah seorang pemain yang berjaya memperolehi kelebihan itu ialah penyerang berusia 25 tahun, Wan Fazli Wan Ghazali dengan musim 2022 menjadi kemucak dalam kariernya setakat ini.

Musim ini, pemain yang turut dikenali sebagai 'Pok Li' itu mencuri perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia selepas menggalas tanggungjawab penyerang berikutan pemergian pemain import, Jordan Mintah.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 20.35.55

Wan Fazli menjadi tonggak skuad simpanan Terengganu FC musim ini. Facebook/Terengganu FC

Namun, dia jelas mengambil peluang keemasan itu dengan mencatatkan lapan gol daripada 16 penampilan, termasuk dua jaringan ketika pertemuan bersama naib juara Liga Perdana, Kelantan FC.

Tetapi, dengan lambakan pilihan dalam skuad utama Terengganu FC, Wan Fazli kurang diberi kepercayaan, lebih-lebih lagi apabila Kpah Sherman dan Tchetche Kipre cemerlang sepanjang musim.

Kehadiran Tomislav musim depan dilihat mampu mengubah nasib pemain kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu dengan dia dipercayai sudah bersedia untuk bersaing dalam format baharu liga.

Selain itu, berita mengenai penghijrahan duo penyerang import Sang Penyu itu seakan-akan membuka pintu lebih luas kepada Wan Fazli untuk diserap ke dalam skuad utama musim depan.

Penyerang itu juga dikatakan mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuannya apabila Terengganu FC dijangka bakal mengharungi kempen lebih mencabar selepas layak ke Piala AFC.

Wan Fazli juga pastinya tidak akan mensia-siakan kesempatan itu selepas dia kerap dipandang rendah berikutan kehadiran penyerang import berbisa dalam skuad itu.

2. Hakimi Abdullah

Meskipun baru sahaja berusia 23 tahun, Hakimi Abdullah pernah mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol ketika Terengganu FC menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) musim lalu.

Perkara itu sekali gus mencalarkan rekod cemerlang yang dicatatkan skuad Harimau Selatan selepas ia merupakan kali pertama pasukan itu tewas di tempat sendiri dalam Liga Super sejak diambil alih pada 2012.

Hakimi sekali lagi mencuri perhatian selepas dia menjaringkan gol menerusi percubaan sepakan percuma ketika pertembungan kedua-dua pasukan musim ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Bagaimanapun, perkara itu masih tidak cukup untuk mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama Sang Penyu dengan dia hanya memulakan tiga perlawanan dalam Liga Super musim ini.

Namun, hal itu difahami penyokong Terengganu FC dengan Hakimi dilihat masih kekok dan memerlukan lebih banyak bimbingan untuk menjadi seorang pemain serba lengkap.

Tugasan itu diilihat sesuai untuk digalas Tomislav yang sememangnya memiliki kemahiran untuk meletakkan pemain berdasarkan kemampuan dan kebolehan masing-masing.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 20.44.07

Bakat terpendam Hakimi boleh digilap dengan kehadiran Tomislav. Facebook/Terengganu FC

Selain memerlukan tunjuk ajar Tomislav, pemain kelahiran Kelantan itu juga perlu diberi pendedahan secara kerap bagi mewujudkan keserasian bersama rakan sepasukan.

Tetapi, Hakimi juga dijangka akan meraih lebih banyak peluang di atas padang musim depan selepas khabar angin sepertinya mengesahkan pemergian penyerang sayap berbisa, Faisal Halim ke Selangor FC.

Perkara itu pasti akan menjadi satu kelebihan buat pemain muda itu dengan dia difahamkan mampu bermain dengan baik sekiranya diturunkan sebagai pemain sayap kiri dan kanan.

Persoalannya, adakah Tomislav akan memberi kepercayaan penuh terhadapnya apabila Nafuzi juga dilihat enggan memberinya peluang sehingga sanggup menurunkan Nik Sharif Haseefy atau Faiz Nasir meskipun tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram