KPG perlu bagi peluang terakhir buat 5 pemain senior Harimau Malaya


  • Podium
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Kemungkinan Pan-gon perlu menilai kembali tonggak lama yang sudah lama tidak menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi membimbing pemain muda. — Agensi

SEJAK Kim Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, prestasi skuad kebangsaan semakin menunjukkan peningkatan memberangsangkan di bawah bimbingan bekas pengarah teknikal pasukan Korea Selatan itu.

Pan-gon berjaya menamatkan penantian 42 tahun, Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas hampir lebih lima bulan membimbing skuad kebangsaan.

Jurulatih berusia 53 tahun itu, merubah wajah skuad kebangsaan dengan menampilkan gabungan tonggak senior serta bakat-bakat baharu di dalam skuad Harimau Malaya.

Dia turut berjaya melonjakkan ranking skuad kebangsaan dengan peningkatan lapan anak tangga dari 154 ke 146 sejak dilantik pada Januari 2022.

Namun, sebelum kehadiran Pan-gon skuad kebangsaan pernah berjaya meraih pelbagai kejuaraan bersama pemain-pemain senior yang lain.

Mungkin Pan-gon perlu menilai kembali tonggak lama yang sudah lama tidak menyarung jersi skuad Harimau Malaya bagi mencurahkan pengalaman mereka kepada pemain muda.

Ini antara lima pemain senior yang masih lagi boleh menyumbang keringat kepada skuad Harimau Malaya.

Badd

Kali terakhir Baddrol menyarung jersi Harimau Malaya pada 2021. Facebook/Sabah FC

1. Baddrol Bakhtiar

Legenda pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kini bersama skuad Sang Badak mungkin boleh dinilai jurulatih kelahiran Korea Selatan itu untuk dipanggil semula ke dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Pemain berusia 34 tahun itu kini sedang berada dalam prestasi terbaik bersama Sabah pada musim ini apabila berjaya merekodkan enam jaringan gol dan empat assist dalam 20 perlawanan Liga Super 2022.

Baddrol turut mempunyai karakter sebagai seorang pemimpin apabila menjadi kapten pasukan Sabah pada musim ini walaupun baru semusim menyertai skuad Sang Badak.

Kali terakhir Baddrol menyarung jersi Harimau Malaya pada 2021 semasa kejohanan Piala AFF Suzuki 2021 di bawah kendalian jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Menurut Transfermarkt, sepanjang bergelar pemain bola sepak, Baddrol sudah berjaya menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak 37 kali bersamaan empat gol dan satu bantuan gol.

Jal

Rizal mula melakukan debut bersama skuad kebangsaan pada 2016 di bawah bimbingan jurulatih, Kim Swee. Facebook/Sabah FC

2. Rizal Ghazali

Pemain yang pernah diberi amaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac 2022 mungkin boleh dipanggil semula bagi kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Ini kerana Rizal beraksi cemerlang pada musim ini apabila berjaya membantu Sabah menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super dan membawa skuad Sang Badak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022.

Rizal mula melakukan debut bersama skuad kebangsaan pada 2016 di bawah bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee semasa perlawanan persahabatan menentang Singapura yang mana berakhir dengan keputusan seri.

Digelar sebagai kereta kebal oleh penyokong pasukan Kedah, Rizal pada musim ini yang baru menyertai skuad negeri di bawah bayu masih konsisten sehingga pernah mendapat perhatian Pan-gon.

Namun disebabkan faktor keluarga, Rizal terpaksa menolak panggilan tersebut dan posisi dia digantikan dengan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khuzaimie Pee.

Menurut Transfermarkt, Rizal sudah 16 kali menyarung jersi Harimau Malaya dan merekodkan 1,354 minit permainan bersama skuad kebangsaan sejak 2016.

Akhram

Akhram merupakan antara tonggak tengah bertahan terbaik yang ada di dalam Liga Malaysia. Facebook/KL City

3. Akhram Mahinan

Jeneral tengah padang Kuala Lumpur City (KL City), Akhram Mahinan menjadi nadi utama skuad Warga Kota apabila dia berjaya membantu KL City melangkah ke pentas akhir Piala AFC 2022 pada Oktober.

Bukan itu sahaja Akhram turut berjaya membantu KL City menjulang Piala Malaysia 2021 dengan menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Tidak asing lagi, Akhram merupakan antara tonggak tengah bertahan terbaik yang ada di dalam Liga Malaysia selain pemain berstatus bintang seperti Natxo Insa, Syamer Kutty dan lain-lain lagi.

Kali terakhir Akhram menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada 2021 semasa perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan dengan keputusan berakhir 5-1 yang mana ketika itu Harimau Malaya tewas.

Musim ini, Akhram berjaya menjaringkan satu gol dan tiga assist dalam 20 perlawanan Liga Super manakala di Piala AFC dia menyumbang tujuh bantuan gol.

Kogi

Kogi sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda sebelum mendapat panggilan pertama bersama pasukan senior pada 2018. Facebook/PJ City

4. R. Kogileswaran

Pemain yang pernah menyumbangkan gol sagu hati buat skuad Harimau Malaya semasa Piala AFF Suzuki 2021 ketika menetang Indonesia mungkin boleh dipertimbangkan Pan-gon untuk memanggilnya kembali ke dalam skuad kebangsaan.

Kogi sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Harimau Muda sebelum mendapat panggilan pertama bersama pasukan senior pada 2018.

Ketika itu Kogi memulakan debut dengan menggantikan pemain tengah, Akhram Mahinan semasa perlawanan menentang Lebanon dalam kelayakkan Piala Asia 2019.

Hampir selepas tiga tahun tidak dipanggil bagi menyertai skuad kebangsaan, akhirnya prestasi semasa yang memberangsangkan ketika bersama Petaling Jaya City (PJ City), Kogi dipanggil bagi menyertai Harimau Malaya untuk menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2021.

Namun sejak daripada itu, Kogi pernah dipanggil Pan-gon tetapi gagal untuk berada dalam skuad terakhir Harimau Malaya.

Pada musim ini, pemain berusia 24 tahun itu berjaya menjaringkan dua gol dan dua assist dalam 19 perlawanan Liga Super 2022.

safee-sali

Kali terakhir Safee menyarung jersi Malaysia ialah pada 2017.

5. Safee Sali

Penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali pastinya boleh membantu skuad kebangsaan dalam membimbing pemain-pemain muda bagi mengharungi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Walaupun jarang diturunkan oleh Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak pastinya penyerang yang sinonim dengan jersi nombor 10 ini banyak beri sumbangan dan didikan kepada pemain lain dalam bilik persalinan.

Memulakan aksi debut bersama Harimau Malaya pada 2006 ketika menentang New Zealand pastinya banyak pengalaman manis dan pahit yang boleh dikongsikan kepada pemain baharu Harimau Malaya.

Kali terakhir Safee menyarung jersi Malaysia ialah pada 2017 ketika menentang Lebanon dalam kelayakkan Piala Asia 2019.

Menurut Transfermarkt, Safee berjaya menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak 73 penampilan dan 23 jaringan gol buat skuad kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram