SELANGOR FC terlepas peluang untuk merangkul trofi Piala Malaysia 2022 selepas ditewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 1-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu.
Meskpun Selangor FC berjaya mendahului menerusi sepakan penalti penyerang berbisa Selangor, Herlison Caion pada minit ke-45 permainan, namun skuad Harimau Selatan berjaya mengejar dua gol hasil jaringan Bergson Da Silva (minit ke-47) dan Fernando Foresteiri (minit ke-60).
Kejayaan JDT itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya menjulang kejuaraan quadraple pada musim ini selepas memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada awal tahun.
Selepas tamat sahaja perlawanan kejohanan tertua di rantau Asia itu, timbul kenyataan bahawa tonggak Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee dan pemain lincah Terengganu FC, Faisal Halim dikhabarkan bersetuju untuk menyertai skuad Selangor untuk musim 2023.
Perkara itu didedahkan menerusi ciapan Twitter wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang mengatakan Khuzaimi Piee, Faisal Halim dan pemain Petaling Jaya City FC, V. Ruventhiran bersetuju sudah menandatangani skuad The Red Giants.
Bukan hanya khabar kemasukan pemain baharu, malah penyokong Selangor turut dikejutkan dengan penghijrahan enam tonggak mereka.
Caion turut didakwa akan meningglkan pasukan The Red Giants. — Facebook/Selangor FC
Perkongsian dari pengguna Facebook Roni Andika Zainintawa yang dipercayai salah satu daripada pengurusan Selangor menyatakan enam pemain Gergasi Merah akan meninggalkan kelab berkenaan.
Enam pemain itu terdiri daripada lima pemain import iaitu Caion, Hyuri (Brazil), Baha'a Abdulrahman, Yazan Al-Arab (Jordan), Safuwan Baharudin (Singapura) dan penyerang tempatan, Shahrel Fikri.
“Alhamdulillah. Berakhir sudah perjalanan 2022 yang penuh warna warni. Bermula dengan pahit, bersulam harapan, naik turun dan pengakhiran yang pahit jua. Terima kasih kepada pengurusan, jurulatih dan pemain Selangor FC yang bersama-sama berjuang untuk musim 2022.
“Selamat datang kepada pemain baru yang akan masuk dan kepada team. Semoga kita kembali lebih kuat musim depan. Terima kasih kepada Safuwan Baharudin, Shahrel Fikri, Yazan Al Arab, Baha Abodai, Caion dan Hyuri. Semoga maju jaya bersama pasukan baru.
"Kita buat lagi pada musim depan. Target juara dan menjulang di Asia. Kau dan aku selamanya,” tulisnya pada hantaran di Facebook miliknya.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Selangor masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram