Qatar jadikan Piala Dunia 2022 medan dakwah


  • Podium
  • Isnin, 21 Nov 2022

Piala Dunia 2022 dengan slogan ‘Now Is All’ berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara. — Agensi

SEJARAH terlakar dalam dunia bola sepak dunia apabila buat julung kalinya, negara Timur Tengah dan negara Islam, Qatar menjadi tuan rumah kejohanan sukan berprestij empat tahun sekali tersebut.

Dalam usaha membida peranan sebagai tuan rumah, Qatar menerima sokongan daripada 22 anggota eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus mengetepikan empat negara pesaingnya, yakni Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

Sebagai negara Islam pertama, Qatar tidak mengecewakan dalam usahanya menyebar dakwah Islam secara halus menerusi pelbagai medium sepanjang penganjuran kejohanan yang bermula pada 20 November hingga 18 Disember.

Bacaan Al Quran merupakan antara acara pada pembukaan Piala Dunia pada Ahad.Agensi

Buat pertama kali sejak 1930, bacaan Al Quran berkumandang dalam acara pembukaan Piala Dunia di bawah kelolaan FIFA.

Pada pemulaan acara pembukaan, tayangan filem digital mengenai peradaban kuno padang pasir bersama paus yang terbang di langit dinaratifkan oleh aktor terkemuka, Morgan Freeman dan Ghanim Muftah.

Kisah tersebut menceritakan tentang kisah kemanusiaan dan penyatuan manusia, kemudian bacaan Surah Al Hujuraat ayat 13 dimulakan.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal,” makna ayat tersebut.

Salah satu sabda Rasullah S.A.W di sebuah bangunan di Qatar. Agensi

Selain itu, Qatar juga menyediakan sabda Rasullah S.A.W di setiap sudut bagi mempromosikan keindahan Islam dan bilik-bilik hotel mempunyai kod bar yang memperkenalkan ajaran Islam, Hadith, dan definisi mudah akidah Muslim.

Qatar juga menukar bilal masjid dan membawa masuk mereka yang bersuara indah untuk laungan azan. Mikrofon juga diletakkan di stadium untuk laungan azan.

Pusat Pengunjung Qatar juga menyediakan pasukan seramai 2,000 orang untuk menyeru kepada Islam, di mana mereka akan memperuntukkan 10 kereta bergerak dan 10 khemah khusus untuk tujuan tersebut.

Pameran Islam turut dianjurkan dalam pelbagai bahasa oleh Kementerian Wakaf, selain ketersediaan tempat solat dan tempat berwuduk di stadium buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia.

La'eeb merupakan maskot rasmi Piala Dunia 2022 di Qatar dan namanya diterjemahkan kepada 'pemain berkemahiran tinggi' dalam bahasa Arab. Agensi

FIFA juga mengesahkan bahawa tiada penjualan alkohol di lapan buah stadium yang menganjurkan 64 perlawanan.

Sebagai rekod, Piala Dunia 2022 dengan slogan ‘Now Is All’ berlangsung di lapan stadium rasmi di Qatar melibatkan 32 negara.

Setiap pasukan diundi dalam lapan kumpulan, dengan setiap kumpulan dihuni oleh empat pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram