Sudah masak dengan taktikal, Cheng Hoe bimbang misi 34 Selangor 'dimakan' bintang JDT


  • Podium
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Pemain Selangor diharap dapat mempamerkan persembahan terbaik dan menunjukkan keyakinan tinggi ketika menentang JDT ketika final Piala Malaysia pada Sabtu. — Bernama

PENGALAMAN empat tahun bersama beberapa pemain Johor Darul Takzim (JDT) ketika membimbing skuad kebangsaan tidak memberi kelebihan kepada ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menjelang pertembungan final Piala Malaysia 2022, pada Sabtu.

Cheng Hoe, yang membimbing Selangor menentang JDT pada final Piala Malaysia pertama skuad Gergasi Merah sejak 2016 berkata, pengalaman bersama pemain skuad Harimau Selatan sebelum ini mungkin ‘memakan’ dirinya pada pertembungan di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu.

Beliau berkata, barisan pemain JDT yang pernah bersamanya mungkin sudah memahami corak permainan dan pendekatan taktikal yang akan digunakan pada perlawanan itu sekali gus mampu menghalang impian Selangor merangkul kejuaraan kali ke-34.

"Walaupun saya tahu dan faham kekuatan setiap pemain JDT tapi itu bukan satu jaminan untuk saya dan Selangor menang perlawanan ini...tapi saya selalu kata kepada pemain dalam mana-mana aksi, yang penting ialah persembahan individu.

"Bagi saya kalau pemain dapat pamerkan satu persembahan terbaik dan menunjukkan keyakinan tinggi mungkin kita boleh dapat capai keputusan positif,” katanya pada sidang media praperlawanan final Piala Malaysia antara JDT dengan Selangor di Stadium Nasional pada Jumaat.

Cheng Hoe mula dilantik membimbing skuad kebangsaan pada Disember 2017 yang menyaksikan pengendali berusia 54 tahun itu berjaya memberi nafas baharu dalam prestasi pasukan negara sebelum mengambil keputusan melepaskan jawatan awal Januari tahun ini.

Kejuaraan terakhir Cheng Hoe dalam kancah saingan domestik ialah memenangi Piala Malaysia 2016 bersama Kedah yang menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas final.

KUALA LUMPUR, 24 Nov -- Pemain Pasukan Bola Sepak Selangor FC, Sharul Nazeem ketika sesi latihan rasmi sempena Piala Malaysia 2022 di Stadium Cheras hari ini.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sharul Nazeem berharap rakan-rakan sepasukan memberikan aksi terbaik dalam aksi final menentang JDT. — Bernama

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya pemain pertahanan Yazan Al-Arab tidak dapat diturunkan susulan penggantungan perlawanan manakala baki pemain berada pada tahap prestasi terbaik selepas menjalani beberapa sesi pemulihan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar melihat aksi final itu sebagai peluang kepada semua pemain mengharumkan nama Selangor selepas pasukan melalui kemarau tujuh tahun kejuaraan selepas menjuarai Piala Malaysia 2015.

"Selangor dah lama tak menang sebarang kejuaraan, jadi saya rasa inilah masanya yang terbaik untuk para pemain menunjukkan kehebatan bagi memenangi Piala Malaysia tahun ini, saya juga harap rakan-rakan berikan terbaik dalam 90 minit,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan rekod kejuaraan 33 kali sementara JDT muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram