Kecam insiden bas pemain Selangor 'diserang', FAM tunggu laporan MFL, MC


  • Podium
  • Selasa, 22 Nov 2022

Cermin bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC pecah selepas dibaling batu oleh segelintir penyokong TFC pada Isnin.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan seterusnya susulan insiden sekumpulan penyokong Terengganu membaling batu ke arah bas yang membawa pemain serta pegawai skuad Gergasi Merah.

Namun begitu, badan induk berkenaan perlu menunggu laporan penuh siasatan daripada pihak Kommisioner Perlawanan (MC) dan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu sebelum memuktamadkan keputusan akibat perbuatan tidak bermoral itu.

Malah, pihak FAM juga mengecam keras perbuatan yang dilakukan oleh sesetengah penyokong itu kerana insiden berkenaan boleh membahayakan nyawa orang lain.

“Sekarang ini kami tengah tunggu laporan MC perlawanan dan dari MFL.

“Kita kena tunggu laporan dan bawa ke Jawatankuasa Tatatertib dahulu, baru boleh putuskan,.

“Kami pun mengecam perbuatan mereka, saya nasihatkan penyokong ini saling hormat menghormati di antara satu sama lain.” katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, Pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn. Bhd turut mengecam sekeras-kerasnnya insiden kekacauan yang berlaku di luar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab. Rasid Jusoh dalam satu kenyataan pada Selasa juga memohon maaf atas insiden memalukan itu sambil berharap kejadian sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Selepas perlawanan pada Isnin lalu, bas yang membawa pemain dan pegawai Selangor FC dalam perjalanan pulang ke hotel diserang oleh sekumpulan penyokong.

Mereka menunggu di tepi jalan bertindak agresif membaling objek keras sehingga cermin bas pecah.

Tindakan itu turut membuatkan penyerang import Selangor FC, Herlison Caion meluahkan rasa marahnya kepada insiden berkenaan.

“Tidak mengenal erti kekalahan, satu sikap yang sangat teruk’, demikian luahan pemain itu pada laman Insta Story.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menyaksikan TFC tewas 2-3 secara agregat di tangan pasukan Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram