BINTANG bola sepak dunia, Lionel Messi dan rakan sepasukan Argentinanya memilih untuk tinggal di kediaman pelajar di Universiti Qatar berbanding hotel mewah lima bintang sebaik tiba di Qatar untuk kempen Piala Dunia 2022.
Keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan mereka menganjurkan pesta barbeku traditional Argentina, Asado di kawasan kampus yang luas itu.
Asado merupakan satu acara keraian dengan sajian pelbagai jenis stik dan sosej terutamanya daging lembu disaluti garam kasar dan dimasak menggunakan cara traditional.
Hidang daging mewah itu disertakan dengan salad dan wain.
Daging lembu terbaik dari negara Amerika Selatan juga diterbangkan ke Qatar untuk pasukan Argentina, yang merupakan pasukan pilihan Piala Dunia kali ini.
Keluasan kawasan kampus membolehkan majlis Asado diadakan buat pasukan Argentina.
Cef khas yang pakar memasak Asado turut dibawa bersama bagi memastikan masakan dimasak sama seperti hidangan asal di Argentina.
Menurut sumber daripada Persatuan Bola Sepak Argentina, mereka telah melakukan beberapa kali lawatan dan memilih untuk menetap di situ kerana fasiliti kampus tersebut lengkap dan luas.
"Keputusan ini sangat penting buat para pemain dan Argentina secara umum. Ini sebahagian daripada budaya kami. Kami mahu buat mereka rasa seperti di rumah sepanjang berada di Qatar.
"Cara terbaik adalah menjamu mereka dengan cita rasa di tanah air sendiri, sementara mereka memberi tumpuan pada bola sepak.
"Kamu boleh kata pasukan lain lebih memilih untuk tinggal di kemudahan mewah tapi pasukan kami, iaitu pasukan terbaik layak mendapat daging terbaik.
"Oleh itu, fokus kami adalah memenangi Piala Dunia, bukan kualiti hotel tempat tinggal kami," katanya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram