PASUKAN gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dikhabarkan sedang mengintai penjaga gol Aston Villa, Emiliano Martinez, menurut laporan Football Insider.
Martinez sebelum ini berhijrah ke Villa Park dari sebuah lagi pasukan gergasi EPL, Arsenal pada 2020 dan berjaya merekodkan 83 penampilan bersama kelab itu dengan rekod 27 gol tanpa bolos.
Sebagai tonggak pertahanan terakhir, Martinez dilabel sebagai 'hebat' oleh rakan sepasukan Aston Villa, Matty Cash dan digelar 'salah seorang penjaga gol terbaik di dunia' oleh rakan senegara, Lionel Messi.
Pada musim ini, Martinez bermain setiap minit aksi di bawah kendalian Steven Gerrard.
Pemain berusia 30 tahun tersebut terikat bersama pasukan itu sehingga 2027 selepas menandatangani kontrak baharu awal tahun ini, tetapi United dilaporkan tetap berminat dengan khidmatnya.
Menurut FI, United sentiasa memantau Martinez menjelang perpindahan yang berpotensi dan mendakwa pemain Argentina itu berada dalam radar Old Trafford.
Laporan itu menambah, pasukan pemantau United meletakkan nilai sangat tinggi buat Martinez dengan nilai semasanya bersama skuad Villa berjumlah £45 juta (RM222.3 juta).
Nilai tinggi itu pastinya menyukarkan proses perpindahan melihat kepada usia Martinez yang mencecah 30-an selain keengganan majikannya itu melepaskan khidmat Martinez. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram