Tidak mahu jejas fokus pasukan, TFC setia menunggu jawapan Nafuzi Zain


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Nafuzi enggan menjawab isu lanjutan kontrak bersama TFC. — Facebook/TFC

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain masih mengunci mulut mengenai tawaran lanjutan kontrak bersama pasukan itu bagi musim depan.

Berdasarkan laporan dari Berita Harian, jurulatih berusia 44 tahun itu enggan memberi jawapan sama ada kekal membimbing TFC atau menamatkan kontraknya meskipun tempoh dua minggu yang diberikan pihak pengurusan untuk memberi jawapan sudah berakhir.

Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 25 Oktober lalu bersetuju menawarkan lanjutan kontrak setahun kepada Nafuzi susulan prestasi cemerlang pasukan itu pada musim ini.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu memilih untuk berdiam diri kerana ingin fokus mempersiapkan skuad Penyu menghadapi suku akhir kedua Piala Malaysia yang dijadualkan menentang Kuala Lumpur City FC pada Sabtu.

tFC

Antara aksi TFC menentang skuad Warga Kota pada pusingan pertama aksi suku akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab tampil memberi respons mengenai status Nafuzi berkenaan lanjutan kontrak ketua jurulatih itu.

Menurutnya, pihak pengurusan TFC juga belum menerima sebarang jawapan daripada jurulatih berkenaan.

“Setakat ini saya tiada lagi dengar maklumat dari dia (Nafuzi). Sama ada dia buat keputusan atau tidak.

“Kami dah buat kerja kita, maknanya pun tepulang kepada dia dan pihak pengurusan untuk semak semula macam mana,” katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, pihak pengurusan Terengganu tidak mahu isu kontrak berkenaan mengganggu emosi para pemain dan jurulatih terutamanya ketika kejohanan Piala Malaysia belum berakhir.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil juga enggan memberi komen mengenai calon ketua jurulatih baharu sekiranya Nafuzi menolak tawaran berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram