Nafuzi tidak gentar berdepan KL City FC, anggap skuad Penyu ada peluang


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Nafuzi turut mengingatkan para pemain supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap kecergasan apabila berdepan KL City FC. — Bernama

PENGENDALI Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menganggap peluang skuad Penyu dan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia adalah terbuka dan seimbang.

Biarpun ketika ini skuad bimbingan Nafuzi mendahului The City Boys dengan 1-0, dia berasakan situasi itu bukan jaminan untuk sang Penyu kekal menang pada pertemuan kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam Sabtu.

Sebaliknya, dia mengingatkan para pemain supaya lebih berwaspada dan meningkatkan tahap kecergasan apabila berdepan pasukan naib juara Piala Konfederasi Asia (AFC) 2022 itu yang sentiasa tampil dengan corak permainan berintensiti tinggi.

"Kita hanya berjaya bawa pulang satu gol pada perlawanan pusingan pertama di tempat lawan tempoh hari, sudah tentu ia bukan satu bekalan yang selesa.

"Kita tahu dalam perlawanan berformat kalah mati seperti ini, jurulatih (Bojan) Hodak lebih berpengalaman dan mereka pastinya lebih bersedia untuk misi balas dendam," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu.

Nafuzi berkata, pengalaman yang ada pada Hodak harus diambil kira dan perlu berwaspada lebih-lebih lagi dalam aksi penting itu. — Bernama

Dalam pada itu, Nafuzi turut menolak anggapan bahawa ketiadaan penjaga gol sensasinya, Suhaimi Husin yang digantung satu perlawanan akibat layangan kad merah akan mencacatkan kubu pertahanan skuad Penyu pada perlawanan malam Sabtu.

Katanya, TFC memiliki dua lagi penjaga gol iaitu Rahadiazli Rahalim dan Shamirza Yusoff yang tampil dengan aksi cemerlang ketika menggantikan Suhaimi pada pertemuan pertama dengan KL City di Stadium Cheras Isnin lepas.

"Lagipun tonggak pertahanan utama kita, Shahrul Nizam yang digantung satu perlawanan pun dah boleh main.

"Jadi kita tak risau sangat dengan perkara seperti itu. Yang penting pemain perlu fokus dan kekalkan momentum kemenangan untuk layak ke peringkat separuh akhir," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram