[VIDEO] 'Harap mak ayah pandai jaga anak' — Bukan 1, tapi kereta demi kereta jadi mangsa khianat budak di flat P.Pinang


  • Tular
  • Khamis, 03 Nov 2022

Tangkap layar kanak-kanak mengetuk kereta dengan menggunakan rotan mengundang kemarahan warganet dan mempersoal didikan ibu bapa kerana membiarkan anak mereka berbuat demikian.

KENDERAAN bukan sahaja digunakan untuk memudahkan pergerakan pada bila-bila masa, tetapi turut membantu melancarkan aktiviti harian seperti ke tempat kerja atau sebagainya.

Tidak mengira apa jenis model, kereta tersebut tetap akan dijagakan dengan rapi agar dapat berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun tindakan seorang kanak-kanak yang memukul sebuah kereta dengan objek dipercayai rotan menarik perhatian pengguna media sosial.

Kejadian yang berlaku di sebuah kawasan perumahan flat Batu Maung, Pulau Pinang itu ‘membakar’ emosi warganet lebih-lebih lagi ketika menonton rakaman video di TikTok @Frhnbhah.

Berlaku pada Rabu, kanak-kanak terbabit dilihat bermain dengan dua lagi kanak-kanak lain sekitar pukul 7 malam.

Berdasarkan rakaman, kanak-kanak yang memakai gaun berwarna firus itu memegang rotan sambil memberi reaksi seperti ingin memukul dua lagi kanak-kanak lain dan mengejar mereka.

Kemudian dia pergi ke arah kenderaan jenis Proton Saga berwarna merah dan mengetuk depan kereta tersebut beberapa kali.

Tindakan sama turut dilakukan kepada kereta jenis Nissan Navara berwarna jingga yang berada di sebelah Proton Saga.

Melihat kepada tindakan kanak-kanak itu, dia sepertinya sengaja mengetuk kereta tersebut dipercayai dengan tujuan untuk menakut-nakutkan dua lagi kanak-kanak.

Perbuatan kanak-kanak itu bukan sahaja dianggap tidak sopan, tetapi turut ‘memanaskan’ hati netizen.

Rata-rata meluahkan rasa tidak puas hati terhadap ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang bukan sahaja membiarkan anak mereka bermain di luar rumah pada waktu Maghrib, tetapi turut cuba merosakkan harta benda penduduk.

“ALLAH. Mau saya tidak tahu hendak cakap apa. Berderau darah tengok dan kepala berapi, telinga berasap,” kata rohaidaahmad226.

“Aku ini keluar kereta pun pesan dekat anak supaya buka pintu perlahan-lahan, tekut kena kereta sebelah. Jangan-jangan budak ini itu hempas pintu ke kereta sebelah,” kata saquramidismail.

“Anak sepatutnya waktu Maghrib dekat dalam rumah. Ibu bapa budak-budak ini di mana? Macam mana boleh lepas tangan bagi anak main tengah jalan. Bahaya kalau kena langgar atau diculik,” kata userfady_.

Tidak diketahui kesudahan kanak-kanak terbabit, sementara pemilik kenderaan juga dipercayai belum membuat laporan polis setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram