'Panas baran', penyokong TRW desak pemain sayap diusir keluar dari Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 06 Nov 2022

Penyokong melihat Jasmir bukanlah seseorang yang perlu dikekalkan bersama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC

INSIDEN hangat ketika perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan FC ketika suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu serba sedikit mengubat rindu penyokong bola sepak tempatan yang sudah lama menantikan pertembungan kedua-dua pasukan itu.

Namun, layangan kad merah kepada pemain tengah JDT, Afiq Fazail dilihat sebagai pencetus kepada situasi tegang pertembungan itu selepas dia didapati membentes Ikhwan Yazek pada minit ke-76.

Insiden itu dituruti pertikaman lidah antara staf kejurulatihan JDT dan Kelantan FC sehingga memaksa pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria campur tangan bagi meleraikan situasi itu.

Namun, apa yang menarik perhatian dan menimbulkan pelbagai tanda tanya adalah keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada penyerang sayap The Red Warriors (TRW), Jasmir Mehat.

Beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup, anak jati Melaka itu dilihat seperti membentes atau mengasari pemain JDT secara sembunyi-sembunyi, namun berjaya dikesan pengadil.

Selepas menerima beberapa aduan daripada pemain Harimau Selatan yang lain, pengadil tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah, sekali gus mematikan hasratnya untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November nanti.

Kehilangan Jasmir dalam kesebelasan utama pasti merunsingkan ketua jurulatih TRW, Rezal Zambery Yahya apabila pemain berusia 28 tahun itu kerap diturunkan sepanjang musim sebelum ini.

Selain itu, dengan kecederaan yang dialami penyerang berbisa, Nurshamil Abd Ghani, ketiadaan Jasmir dilihat menyukarkan lagi usaha pasukan Pantai Timur tersebut untuk mengikat semula agregat.

Kegelisahan dan kerisauan itu turut ditunjukkan penyokong setia Kelantan FC menerusi media sosial apabila mula berasakan pemain tersebut perlu menepikan perasaannya demi kebaikan pasukan.

WhatsApp Image 2022-11-05 at 23.15.59

Jasmir (kiri) dilayangkan kad merah selepas wisel penamat ditiup. Facebook/TRW Kelantan FC

"Dia memang bertungkus lumus sepanjang 90 minit permainan dan dia sahaja yang saya lihat rajin serta mencurahkan segala-galanya untuk pasukan kita.

"Tetapi, sikap dia yang mudah marah perlu dibaiki dan jika hendak dibandingkan dengan rakan sepasukan, dia dilihat berada di tahap berbeza," kata Mohd Yusoff.

"Betul, dia (Jasmir) ni memang cepat melenting tetapi tidak boleh cakap kesungguhan dia tidak sampai 100 peratus di atas padang. Sayang bakat kalau emosi tidak dikawal," kata Bering Here.

Namun, bagi segelintir penyokong pula, Jasmir tidak perlu dikekalkan dalam skuad sekiranya mereka berhasrat untuk memberi saingan lebih hebat dalam Liga Super akan datang.

"Jasmir tidak patut ada dalam skuad kerana dia memang ada sikap panas baran," kata Cg Rizz.

"Setuju, sebab perangai sebegitu tidak bagus untuk sesuatu pasukan. Risau sekiranya dia berdepan lawan yang pandai memberi tekanan, kena kad merah lagi," kata Abdul Rahman Samad.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Sabtu itu, JDT berjaya menumpaskan Kelantan FC dengan skor 3-0 dan ia pasti menjadi bekalan selesa dalam aksi timbal balik akan datang pada 11 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram