SELAIN menggunakan khidmat tempatan, pemain antarabangsa turut menjadi antara penyumbang untuk memperoleh kejayaan bagi sesebuah pasukan bola sepak.
Pelbagai cara dilakukan sama ada memberi peluang naturalisasi mahupun mengadakan perjanjian pinjaman dengan kelab luar negara.
Begitu juga dengan pemain di posisi tengah Sri Pahang, Kevin Ingreso yang merupakan bekas pemain Buriram United.
Dia dipinjamkan daripada BG Pathum United iaitu kelab Thailand untuk bermain dalam Liga Super 2021/2022.
Bagaimanapun perjanjian pinjaman selama enam bulan bermula Mei lalu itu difahamkan tidak akan bertemu penghujung memandangkan khidmatnya masih diperlukan Sri Pahang.
Pemain tengah kacukan Filipina-Jerman itu dipercayai bakal meneruskan kerjayanya dengan pasukan tersebut untuk musim hadapan.
Barisan pemain luar negara Sri Pahang, — Facebook Sri Pahang.
Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran di Twitter yang mengatakan pemain berusia 29 tahun itu kekal dengan Sri Pahang untuk 16 perlawanan.
“Difahamkan Pahang akan melanjutkan perjanjian Kevin Ingreso. Pemain antarabangsa Filipina berusia 29 tahun itu bermain 16 perlawanan untuk Pahang dalam semua pertandingan musim ini dan merupakan pemain perpindahan jendela kedua,” katanya di Twitter.
Meskipun masih belum mendapat sebarang pengesahan rasmi, penyokong bagaimanapun dilihat memberi sokongan terhadap keputusan tersebut.
“Ikat mati terus Ingreso. Next jeneral tengah. Yahuu,” kata Wan Paqueta.
“Boleh juga untuk teruskan saja dengan Sri Pahang. Lagipun ramai juga pemain luar lain yang bermain,” kata saywhattodo.
Terdahulu Ingreso turut beraksi di Liga Utama Thailand bersama Samut Prakan City yang juga merupakan pinjaman daripada BG Pathun United.
Namun dia hanya membuat kemunculan 10 penampilan bersama pasukan itu dari 2019 hingga 2021 sebanyak 34 perlawanan dan tiga jaringan sepanjang tiga tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram