Bekas import Sang Kenari kena 'sekolah' pertikai CEO Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Renan Alves beraksi bersama Kedah selama tiga musim bermula 2019. — Facebook/KDA FC

PERUBAHAN drastik bakal berlaku kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim depan sebagai persiapan mereka menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali dengan mengatakan bahawa pasukan Hijau Kuning tidak akan memperbaharui kontrak lima pemain importnya.

“Marcos Vales Gonzales. Wanja Ronald Ngah, Dechi Marcel Nguessan, Sanrawat Dechmitr dan Mahmoud Nayef Ahmad Almardi telah beraksi bersama pasukan Kedah buat kali terakhir ketika kita bertemu Negeri Sembilan di Paroi Rabu lalu.”

“Ketika ini kami belum memutuskan lagi lima pemain import bagi musim 2023 hanya selepas menentukan ketua jurulatih baharu musim depan,” petik laporan dari Flash Sukan.

Keputusan dari Khamal Idris itu disambut baik oleh penyokong Sang Kenari yang berasa prestasi pemain import musim ini tidak berada pada tahap maksimum.

Namun begitu, kenyataan dari CEO Kedah itu dipersoalkan oleh bekas pemain import Sang Kenari, Renan Da Silva Alves.

WhatsApp Image 2022-11-04 at 4.48.20 PM

Tangkap layar komen Alves mengenai rombakan pemain itu.

“Setiap tahun pemain sahaja yang dipersalahkan?” komennya pada salah satu hantaran isu tersebut.

Komen dari pemain kelahiran Brazil itu mendapat kecaman dari penyokong Hijau Kuning dan rata-ratanya menyokong tindakan pihak pengurusan Kedah itu.

“Habis itu siapa yang main bola dalam padang itu. Datukkah? Sah-sah pemain tidak akan nak salahkan orang lain. Tapi Mardi dengan Sanrawat itu kena kekal. Berbaloi untuk kuota Asia,” kata penyokong Kedah, Mohd Kamarul.

“Jadi nak salahkan siapa. Nama pemain import, kualiti mestilah nak yang baik. Ambil mahal-mahal, standard lokal baik tidak payah import,” tulis penyokong, Zam Yaakop.

“Betul keluarkan semua, masukkan pelapis muda. Simpan buat apa,” komen penyokong, Zairy Ezza yang setuju dengan tindakan CEO Kedah itu.

Tonggak di barisan pertahanan, Renan Alves beraksi bersama Kedah selama tiga musim bermula 2019 ketika ini merupakan pemain kelab Barito Putera di Indonesia.

Sementara itu, Khamal Idris juga menyatakan bahawa KDA FC sudah mengenalpasti siapa yang bakal mengambil posisi bekas jurulatih, Aidil Sharin Sahak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram