Bantu bekas atlet itu senario biasa jika dekat PRU — Yakeb


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Noorul Ariffin (kiri) bersalaman dengan Thanga Rajoo ketika majlis penyerahan sumbangan bekas atlet kebangsaan kerjasama Yakeb dan Majoriti di PPR Taman Wahyu pada Jumaat. Turut hadir Simon (kanan).

DEMI meraih undi rakyat, bermacam-macam strategi yang akan dilakukan oleh parti politik dan ada di antaranya menggunakan sentimen kesusahan bekas atlet sebagai alat untuk mendapat hati pengundi.

Dengan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang sedang rancak berlangsung, berkemungkinan kita akan melihat senario sesetengah tokoh politik 'tiba-tiba' muncul menolong bekas atlet.

Perkara itu tidak dikatakan akan memberi keburukan namun perlu diingati apa yang dijanjikan kepada golongan tersebut harus ditepati.

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) juga mengakui bahawa senario membantu bekas atlet perkara biasa yang berlaku apabila tiba musim pilihan raya.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, terdapat beberapa kes bahawa tokoh politik mengambil kesempatan terhadap atlet.

“Mereka akan ambil isu-isu tertentu. Katakan mereka akan gunakan para atlet yang jual tisu hari itu. Ia sebenarnya akan membawa perkara negatif kepada kerajaan semasa.

“Orang akan tanya kenapa pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tidak membantu. Benda itu memberi kesan,” katanya kepada Majoriti pada Jumaat.

Beliau memberi nasihat kepada bekas-bekas atlet untuk merujuk kembali kepada Yakeb jika ingin memerlukan sebarang bantuan.

YAKEB 2

Noorul Ariffin (kiri) ketika sedang menyantuni Thanga Rajoo.

Noorul Ariffin menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada bekas bekas atlet para, Thanga Rajoo Arumugam dalam satu majlis ringkas di Program Perumahan Rakyat (PPR), Taman Wahyu, Selayang.

Sumbangan itu ditaja oleh Venthill Group (VH Group) dan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Wong.

Pada majlis yang diadakan di kediaman Thanga Rajoo juga, Noorul Ariffin memberitahu bahawa pihaknya akan memberikan bantuan bernilai RM300 kepada isteri atlet itu, Balle Munusamy.

Dalam pada itu, Noorul Ariffin juga berkata, bahawa bagi atlet yang tidak memenuhi kriteria untuk memohon bantu, pihaknya akan cuba membantu dengan alternatif lain.

“Di Yakeb, kami hanya bantu bekas-bekas atlet yang berdaftar dengan Yakeb. Minimum mewakili Malaysia di Sukan Sea. Kita ada cara untuk tahu sama ada mereka pernah wakili Malaysia atau tidak.

“Ada juga yang ambil kesempatan namun gagal kerana mereka ditapis. Jika mereka atlet negeri, kami akan memberitahu kepada exco sukan negeri. Kami akan cuba bantu,” tambahnya.

Untuk rekod, pada 2021 sahaja, seramai 500 bekas atlet yang menerima bantuan Yakeb dan sewaktu pandemik, yayasan itu memberikan bantuan kepada 200 atlet.

majoriti

Majlis sumbangan VH Group kepada bekas atlet Thanga Rajoo dengan kerjasama Majoriti dan Yakeb

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Venthill Group (VH Group), Simon Wong berharap agar kerjasama sebegini perlu dilakukan bagi membantu nasib bekas atlet.

“Sepanjang kempen ini berlangsung, saya memang gembira dapat membantu orang yang sudah buat pengorbanan untuk negara.

“Kita tidak akan biarkan mereka yang sarung jersi dan bawah nama Malaysia terpinggir dan terabai,” jelasnya.

Selain bekas pemain para tenis itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Ros, bekas atlet bola tampar, Rohana Dewa dan bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng antara tiga lagi bekas atlet yang menerima sumbangan daripada VH Group dengan kerjasama Yakeb dan Majoriti.

Kerjasama berkenaan diadakan sempena ulang tahun pertama Majoriti dan bertujuan menyantuni golongan bekas atlet di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram