PENYERANG Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani kekal positif mampu untuk terus beraksi pada perlawanan pertama suku akhir TM Piala Malaysia, Sabtu ini apabila dihimpit kecederaan di bahagian pinggang pada Isnin lalu.
Nurshamil mengalami kecederaan pada minit-24 perlawanan ketika menentang Sarawak United FC (SUFC) dalam aksi pusingan 16 pasukan pada Isnin lalu, namun menyifatkan kecederaan itu tidak serius dan ingin terus diturunkan menentang Johor Darul Takzim (JDT).
Menjadi antara penyerang utama pasukan pastinya pemain berusia 28 tahun itu diperlukan pasukan memandangkan pertembungan dengan JDT pada Sabtu ini tidak mudah.
“Buat masa ini saya sudah merujuk dengan doktor untuk teliti balik kecederaan saya ini dan saya harap tiada apa-apa yang teruk untuk saya terus beraksi nanti.
“Saya rasa akan pulih secepat mungkin, cuma sekarang masih rasa sakit lagi di bahagian pinggang dan akan terus melakukan pemulihan bersama pasukan.
“Jangan risau, insya-ALLAH akan ada berita yang baik dan saya rasa tiada masalah untuk bermain,” jelasnya kepada MFL.
Sementara itu, pertahanan Kelantan FC, Khairul Helmi Johari pula tidak menolak percaturan yang berbeza pasti dilakukan apabila berdepan pasukan seperti Harimau Selatan.
Khairul Helmi tidak menolak percaturan yang berbeza pasti dilakukan apabila berdepan JDT. — Facebook/TRW
Benteng pertahanan antara yang perlu diperkuatkan melihat kepada barisan hadapan anak buah Hector Bidoglio yang cukup berkualiti.
“Kalau nak bandingkan dengan aksi menentang Sarawak ini, bagi saya setiap perlawanan pastinya berlainan untuk kita buat perubahan apabila berdepan JDT pula.
“Kita akan tengok video analisis dan teliti balik apa yang kita perlu buat terutamanya di pertahanan apabila berdepan JDT sebab kita tahu kekuatan mereka.
“Jadi banyak yang perlu dilakukan dan insya-ALLAH kita akan lebih fokus untuk aksi itu nanti," katanya.
Kelantan mara ke suku akhir TM Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 2-1 ke atas Sarawak United FC, Isnin lalu seterusnya akan bertemu JDT pada Sabtu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram